Warisan Plus akan terus bela kebajikan rakyat Sabah

 



Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya bahawa rakyat Sabah tahu siapa yang layak terajui kerajaan negeri dan yakin majoriti pengundi akan memilih gabungan Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

 Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ini berdasarkan pelbagai polisi dan inisiatif berteraskan kebajikan rakyat terlaksana sepanjang tempoh 22 bulan kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Sabah.

 Ini termasuk ketika Wan Azizah memegang jawatan selaku Menteri Wanita, Keluarga, Pembangunan dan Masyarakat.

 "Kerajaan PH dahulu sentiasa mengutamakan kebajikan yang saksama. Di bawah protfolio saya sendiri saya telah memberi geran RM10 juta untuk penubuhan 65 buah taska di seluruh Sabah.

 "Pada tahun 2019, Kerajaan Persekutuan PH telah membantu seramai 496,518 orang penerima bantuan di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM1.765 billion di bawah Bantuan Sosio Ekonomi JKM.

 "Daripada jumlah tersebut, RM165 Juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKA Sabah) yang memberi manfaat kepada 40,743 orang penerima bantuan.

 "Namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu masyarakat di Sabah ini. Justeru itu, Saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk keluar mengundi pada 26 September ini dan buat pilihan yang tepat," katanya.

 Pada masa sama, Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN itu menempelak tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan isu bantuan untuk meraih undi di Sabah.

 "Perdana Menteri tidak seharusnya menggunakan isu bantuan untuk meraih undi. Beliau harus menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja Perdana Menteri untuk negeri-negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

 "Pengundi Sabah hanya akan pilih orang Sabah dan mereka tahu Warisan dan KEADILAN adalah kerajaan yang kuat dan kukuh untuk bangunkan Sabah.

 "Perkara ini dapat saya lihat sepanjang jelajah di Sabah, memang ada yang mahu mempertahankan kerajaan sebelum ini," katanya.

 Wan Azizah turut prihatin dengan masalah pembangunan di Sabah.

 "Saya ingin menasihati kerajaan hari ini supaya meneruskan usaha murni kerajaan PH dalam merencana pembangunan di Sabah dan Sarawak.

 "Jangan menghina rakyat Sabah yang kreatif mencari internet kerana kelemahan kerajaan persekutuan menyediakan infrastruktur yang selengkapnya," katanya.

 


No comments: