TADAH AIR HUJAN-INI SAJAKAH IDEA CEMERLANG MENTERI PAS UNTUK RAKYAT KELANTAN?

 

Kesian dengan rakyat Kelantan yang nampaknya akan terus menghadapi masalah air bersih, walaupun Pas kini merupakan sebahagian daripada kerajaan di persekutuan.

Ingatkan bila Pas sudah berada dalam kerajaan, setidak-tidaknya masalah air yang dihadapi tidak lagi berlarutan sehingga 20 atau 30 tahun akan datang.

Malangnya, di sebalik Pas sudah berada di dalam kerajaan, penyelesaian masalah air yang diberikan ialah rakyat negeri itu perlu menadah air hujan untuk kegunaan harian mereka.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kelantan antara negeri yang boleh memanfaatkan air hujan untuk kegunaan harian terutama ketika berdepan masalah bekalan air.

Kata beliau, tidak seperti negeri lain, Kelantan tidak terlampau terdedah dengan sektor industri justeru kualiti air hujannya adalah lebih baik.

“Kelantan antaranya boleh manfaat air hujan sebab di negeri ini tidak banyak industri dan kurang pencemaran udara,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Timbalan presiden PAS itu berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan projek rawatan air komuniti Parlimen Kubang Kerian di Masjid Mukim Seterpa Banggu, semalam.

Air bersih merupakan antara isu kemudahan asas yang membelenggu kerajaan Kelantan sejak sekian lama.

Selain tiada bekalan air yang memadai, air kotor – diperolok sebagai teh tarik dalam paip oleh pengkritik – juga menjadi isu yang banyak dibangkitkan oleh orang ramai.

Ia menjadi lebih ‘panas’ apabila ada pemimpin PAS mengkritik kerajaan Selangor semasa berlaku gangguan bekalan air, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim seterusnya berkata, air hujan boleh dimanfaatkan kerana ia “bagus” kecuali di kawasan perindustrian.

“Sebenarnya kalau boleh kita hendak manfaatkan air hujan sebab airnya bagus, cuma di kawasan industri, air lebih terdedah udara tercemar,” katanya.

Soalnya, kalau nak tadah air hujan untuk kegunaan harian, berapa banyak tong air diperlukan bagi setiap rumah?

Dalam keadaan ramai rakyat Kelantan yang hidupnya susah, siapa mahu membekalkan tong-tong tersebut kepada mereka?

Bukankah suatu bebanan lagi bagi rakyat Kelantan jika terpaksa membeli berpuluh-puluh tong untuk setiap rumah?

Adakah Pas mahu menyumbangkan tong percuma?

Selain itu, bagaimana pula ketika musim kemarau?

Di mana air hujan mahu diperolehi ketika itu?

Menadah air hujan – ini sajakah idea cemerlang yang mampu disumbangkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air daripada Kelantan untuk rakyat Kelantan?

 (Shahbudindotcom 19/09/2020)



No comments: