ISU BAHASA MANDARIN DI PORTAL SPRM
1. Makna bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti dalam
pecahan (6) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas. Bahasa rasmi
ialah bahasa yang mesti digunakan dalam pentadbiran di tiga tahap, iaitu
kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
2. SPRM sebagai badan berkuasa awam mesti menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi, termasuk dalam portalnya. Sesudah 63 tahun merdeka
tidak wajar ada alasan untuk mana-mana pihak tidak memahami bahasa negara.
Sesudah Mandarin, adakah SPRM akan memenuhi keperluan kaum-kaum lain atas
alasan tidak memahami bahasa kebangsaan?
3. Peristiwa itu dan beberapa banyak yang lain memberikan
isyarat jelas supaya kerajaan perlu lebih tegas dalam pelaksanaan Dasar Bahasa
Kebangsaan, termasuk syarat kewarganegaraan dan pelaksanaan ujian bahasa
kebangsaan yang membolehkan warganegara mengikuti kursus bahasa kebangsaan
berdasarkan pencapaian dalam ujian itu. Pada tahun 1960-an dahulu ada kelas
dewasa untuk celik huruf masyarakat di luar bandar dan kaedah yang sama boleh
digunakan untuk kelas bahasa kebangsaan kepada masyarakat umum.
4. DBP telah lama menyediakan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu
(UKBM) dan modul kursus bahasa untuk pelbagai peringkat, termasuk untuk
warganegara Malaysia, selain UKBM untuk pelajar dan pekerja asing.
Awang Sariyan Kembara Bahasa Melayu Mahawanga
19.9.2020