Menang PRN Sabah bubar parlimen – Muhyiddin
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya gabungan PN-BN-PBS menang dalam pilihan raya Sabah kali ini, pilihan raya umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat.
Ini adalah pertama kali Muhyiddin menunjukkan kecenderungan melaksanakan PRU segera kerana sebelum ini beliau sekadar mengisyaratkan bahawa PN dan sekutunya harus bekerja keras seolah-olah “PRU akan diadakan esok”.
“Sekiranya kita menang di Sabah, kita akan bergegas dan mengadakan PRU. Saya tahu apa yang akan ditulis oleh media tetapi biarkan mereka membuat spekulasi.
“Tetapi PRN Sabah adalah yang paling penting.
“Isyarat mesti diberikan oleh orang Sabah bahawa ‘kami menyokong PN, kami mahu Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Kami mahu Malaysia terus maju dan berjaya’ dan satu-satunya cara untuk berjaya adalah bersama saya,” kata Muhyiddin dalam ceramah di Pintasan, Kota Belud, Sabah hari ini.
Beliau berucap kepada lebih 250 hadirin, yang kebanyakannya memakai kemeja biru tua atau jaket tertera ‘Perikatan Nasional’.