PM tidak patut ugut rakyat Sabah - Calon-calon KEADILAN

 


Tujuh calon KEADILAN meluahkan rasa terkilan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah hanya akan memberi bantuan kepada Sabah jika pengundi memilih parti kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Dalam satu kenyataan, barisan calon KEADILAN berpandangan bahawa tindakan itu tidak wajar dilakukan oleh seorang perdana menteri kerana menggunakan pendekatan "membeli" pengundi.

 "Kami merasa amat terkilan dengan kenyataan tersebut, ia seolah-olah menghina kebijaksanaan rakyat Sabah dalam membuat pilihan.

 "Sekiranya Perdana Menteri tidak mampu menjunjung semangat federalisme, menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri. Sewajarnya Perdana Menteri meletak jawatan.

 "Perdana Menteri tidak harus mengugut rakyat Sabah dengan mengeluarkan kenyataan sebegini. Rakyat Sabah juga memahami budaya "Cash is King" yang cuba dibawa oleh kerajaan pimpinan," katanya.

 Calon-calon KEADILAN Sabah juga berpandangan bahawa rakyat negeri itu tidak pernah lupa siapa yang cuba menjatuhkan kerajaan sehingga PRN terpaksa diadakan.

 "Harus di ingat, PRN Sabah kali ini tercetus kerana gerakan lompat parti yang dibuat oleh rakan YAB Perdana Menteri sendiri

 "Kami yakin rakyat Sabah cukup matang untuk menolak politik helah yang cuba dimainkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

 Kenyataan tersebut dikemukakan oleh calon DUN Api-Api, Christina Liew Chin Jin, calon DUN Tempasuk, Mustapha Sakmud, calon DUN Inanam, Peto Galim, calon DUN Klias, Abdul Rahman Yakub, calon DUN Sook, Raymond Ahuar, calon DUN Tamparuli, Alijus Sipil dan calon DUN Matunggong, Sazalye Donol Abdullah.