Sita pejabat DUN: Rakyat Gombak tolak pengkhianat, jangan cari simpati

 untitled image

Tindakan sitaan ke atas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia disokong oleh pengundi di Parlimen dan DUN tersebut.

 

Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Gombak, Mohd Razali Yusof, sitaan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu merupakan tindakan wajar memandangkan dewan yang dijadikan pusat khidmat berkenaan milik rakyat manakala kedua-dua ahli politik, Azmin Ali dan Hilman Idham tidak lagi mewakili Kerajaan Pakatan Harapan Selangor.

 

"Tular di media sosial tindakan Majlis Perbandaran Selayang menyita Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia. YB Hilman Idham melalui ciapan peribadi beliau cuba menarik simpati orang ramai dan penjawat awam kononnya beliau menjadi mangsa kerakusan politik Menteri Besar Selangor dan MPS.

 

"Ciapan itu strategi lapuk dan cubaan meraih semula sokongan rakyat yang telah ‘membuang’ beliau akibat pengkhianatan yang beliau lakukan ke atas mandat rakyat.

 

"Sukacita dimaklumkan bahawa tindakan sitaan dan arahan pengosongan dewan tersebut mendapat sokongan padu rakyat Gombak khususnya para pengundi yang telah memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

 

"Sokongan rakyat terhadap tindakan MPS itu kerana pengundi Gombak tidak boleh menerima sama sekali tindakan khianat yang telah dilakukan oleh Azmin Ali dan Hilman Idham ke atas pengundi di Gombak," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Razali lagi, rakyat Gombak tidak boleh diperbodohkan, mereka maklum siapakah yang bermain politik dan pihak mana pula yang selama ini menjalankan tugas membantu rakyat.

 "Kami ingin menasihatkan Azmin dan Hilman supaya jangan menipu dengan ciapan simpati yang cuba memperbodohkan rakyat Gombak.

 "Rakyat Gombak tidak pernah lupa dengan tindakan mengunci Dewan Gombak Setia sewaktu program penyampaian sumbangan bantuan akibat Covid 19 yang lalu oleh Datuk Menteri Besar Selangor. Dewan itu telah dikunci dan semua petugas tidak dibenarkan masuk

 Rakyat miskin dan ibu mengandung terpaksa berdiri dan berpanas terik kerana dewan dikunci. Tindakan MPS bukanlah tindakan balas dendam tetapi semata-mata atas desakan rakyat dan pengundi Gombak yang tidak boleh menerima sama sekali tindakan pengkhianatan yang dilakukan oleh Azmin dan Hilman ke atas mandat serta amanah rakyat," katanya.

 Razali, tindakan MPS tersebut dilakukan dengan prosedur sesuai dan tidak secara zalim. Sehubungan itu, ujarnya, ahli politik yang terlibat tidak wajar mempolitikkannya sebagai satu balas dendam dari Kerajaan Negeri dan sebagainya.

 "Untuk makluman semua juga, tindakan sitaan dan pengusiran MPS telah dilakukan dengan penuh tertib dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Dewan ini akan dikembalikan haknya untuk kegunaan orang ramai khususnya bagi warga Gombak Setia.

 "Kepada rakyat dan pengundi Gombak, Kerajaan Selangor sentiasa memastikan kebajikan, keperluan dan bantuan buat rakyat dipenuhi dengan sempurna," katanya lagi.

 Selain itu, Razali juga menjelaskan tanpa Azmin dan Hilman perkhidmatan dari Kerajaan Negeri tetap berjalan lancar. Di DUN Gombak Setia, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Gombak Setia.

 Manakala bagi warga Parlimen Gombak, Saari Sungib selaku ADUN Hulu Kelang dan Datuk Seri Amirudin Shari sentiasa bersama rakyat bagi menyelesaikan isu penduduk dan memenuhi harapan rakyat.

 Tegas Razali, dengan berkat sokongan semua rakyat, Gombak diramal akan terus kekal sebagai kubu kuat KEADILAN dan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.

 

No comments: