Muhyiddin Yassin kini sedang gigih berkempen bagi memastikan GRS berjaya memenangi PRN Sabah mengalahkan Warisan.
Tetapi, lebih penting daripada itu ialah Muhyiddin mahu memastikan PN menang sejumlah kerusi yang selesa agar hasratnya untuk meletakkan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang baru menggantikan Shafie Apdal menjadi kenyataan.
Kalau GRS ditakdirkan menang, namun BN yang akhirnya memenangi lebih banyak kerusi dan Bung Mokhtar yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, ia adalah suatu kegagalan bagi Muhyiddin.
Berbanding jika Warisan menang lagi dan Shafie terus kekal sebagai Ketua Menteri, ia tidaklah begitu memedihkan hati Muhyiddin berbanding melihat Bung Mokhtar mengangkat sumpah sebagai peneraju baru kerajaan negeri Sabah.
Apabila UMNO menang lebih banyak kerusi dan kerusi Ketua Menteri juga dimiliki parti itu, ia adalah petanda buruk buat Bersatu untuk menuntut pembahagian kerusi yang memihak kepada mereka dalam PRU15 akan datang.
Dengan menang di Sabah, UMNO sudah pasti akan lebih berkeras untuk meminta kerusi yang melebihi Bersatu agar seterusnya dapat pula merampas kerusi Perdana Menteri daripada Muhyiddin.
Perebutan kerusi Ketua Menteri antara UMNO dengan Bersatu dalam PRN Sabah 26 September ini bukanlah suatu rahsia lagi.
Walaupun sebelum ini, baik UMNO atau Bersatu, tidak menamakan sesiapa sebagai calon Ketua Menteri mereka, tetapi ia mula menjadi masalah apabila Muhyiddin sendiri secara terbuka mahu Hajiji bagi mengisi jawatan itu.
Ia kemudian mengundang kecaman daripada bebarapa pemimpin UMNO, bahkan Zahid Hamidi sendiri mengatakan, antara BN, PN dan PBS yang bergabung dalam GRS, siapa yang mampu memenangi jumlah kerusi terbanyak seharusnya berhak menentukan calon Ketua Menteri.
Sekaligus ini merupakan cabaran buat PN yang hanya bertanding 29 kerusi berbanding BN yang bertanding 41 kerusi.
Begitu pun, disebabkan Muhyiddin sudah membuat pengumuman bahawa Hajiji calon Ketua Menteri bagi PN, beliau kini tidak ada pilihan lain selain kena berusaha semampu mungkin memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
Gagal memastikan kemenangan GRS, gagal memastikan PN memenangi lebih banyak kerusi dan gagal menjadikan Hajiji sebagai Ketua Menteri, ia adalah suatu kegagalan bagi Muhyiddin untuk mempertahankan kerusi Perdana Menterinya.
Walaupun Muhyiddin mengumumkan pilihanraya awal akan diadakan secepat mungkin sebaik saja GRS berjaya memenangi PRN Sabah, perkara itu tidak mungkin berlaku jika tiga sasarannya itu gagal dicapai.
Bagi UMNO pula, kemenangan BN di Sabah dan berjaya meletakkan Bung Mokhtar yang masih ada kes mahkamah sebagai Ketua Menteri, ia adalah suatu isyarat yang sangat baik bagi masa depan Zahid Hamidi.
Ia dengan sendirinya akan membuka ruang juga bagi Zahid Hamidi yang turut sedang berdepan kes mahkamah untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri untuk BN.
Sebab itu, dalam PRN Sabah ini, selain BN dan PN sedang berebut jawatan Ketua Menteri, kedua-duanya juga bakal berebut kerusi Perdana Menteri selepas ini.
(Shahbudindotcom 18/09/2020)