Senator kemuka usul kenakan tindakan terhadap Timbalan Menteri Komunikasi



Satu usul rasmi dikemukakan di Dewan Negara bagi menggesa supaya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin disiasat dan dikenakan tindakan kerana memberi jawapan palsu berhubung masalah internet yang dihadapi oleh pelajar universiti, Veveonah Mosibin.

Usul itu dikemukakan Senator Alan Ling Sie Kiong dengan meminta supaya Zahidi dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.

"Pada 3 September 2020, Zahidi didapati telah memberi jawapan palsu ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Beliau telah membuat dakwaan palsu dengan menyatakan saudari Veveonah hanya mahu mencari populariti dalam videonya yang tular berkenaan usahanya untuk menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian.

"Pada 4 September 2020, saudari Veveonah telah menafikan kenyataan palsu Zahidi dan telah menunjukkan Jadual Peperiksaan Akhir Semester 2, Sesi 2019/2020, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah kepada pihak media," katanya dalam kenyataan.

Alan berkata, meskipun Zahidi telah membuat permohonan maaf, namun ia telah mendatangkan kesan buruk dan negatif kepada Veveonah dan keluarganya.

"Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia juga telah mengelirukan dan mencemarkan integriti Dewan yang mulia ini.

"Oleh yang demikian, Zahidi perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara untuk disiasat dan diambil tindakan tegas atas sikap tidak bertanggungjawab ini.

"Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu memutuskan sama ada Zahidi berkata benar berkenaan dakwaan mendapat maklumat tidak benar ketika memberi jawapan kepada Dewan Negara. Tindakan serius ini adalah untuk menjaga integriti Dewan Negara yang mulia ini," katanya.


No comments: