Menteri perlekeh anak muda, tolak PN di Sabah - Fahmi




Penghinaan ke atas pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bukan sahaja melampau tetapi merupakan sifat buruk dan menjadi kebiasaan pemimpin Umno/Perikatan Nasional (PN) yang sering tidak menghormati anak muda.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, sikap memperlecehkan suara anak muda sudah menjadi 'mainan' BN dan kemudian PN. Namun sikap itu, katanya, boleh mewujudkan jurang penyampaian maklumat kerajaan - rakyat yang meluas pada masa hadapan jika tidak ditangani.

"Inilah masalah generasi (tua) yang tidak faham dan memperlekeh anak-anak muda. Kalau kita lihat dalam kalangan timbalan menteri dari Umno, yang mana ramai kita tengok di Parlimen, golongan yang lebih tua ini (PN) sering memperlekeh anak-anak muda termasuk saya sendiri.

"Ahli Parlimen dari DAP atau Syed Sadiq dipanggil budak, dipanggil cucu. Saya melihat anak muda, termasuk Veveonah bagi mereka apabila bersuara dianggap tidak begitu penting.

"Berbeza dengan kami dalam Pakatan Harapan (PH). Kami cukup marah bila anak muda seperti Veveonah diperkotak-katikkan malah dituduh menipu. Timbalan menteri itu bukan bersembang di FB atau kedai kopi, dia bercakap (menuduh) di Dewan Negara," kata Fahmi dalam program sembang santai 'Apa Cerita Bah?' sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.

Bagi Pengerusi Biro Komunikasi KEADILAN itu, menteri kerajaan PN seharusnya sedar mengenai kekurangan peralatan pembelajaran dalam kalangan mahasiswa atau akses internet yang lemah di kawasan pedalaman sebelum melontarkan kenyataan. Kenyataan mengelirukan, katanya, hanya akan merosakkan masa hadapan seorang pelajar malang seperti Veveonah.

"Saya sedih sebab ada dua perkara yang timbul di sini. Pertama, golongan penguasa di Putrajaya tidak mengambil serius perkara ini. Sebab mereka tidak faham masalah yang dihadapi.

"Saya beri contoh di kawasan saya ada ramai mahasiswa Universiti Malaya. Ramai daripada mereka berasal dari pelbagai tempat. Semasa PKP mereka terpaksa kuliah secara on line.

"Di situ kita lihat masalah besar. Tak ada laptop, tak ada internet. Itu perkara asas yang sepatutnya perlu difahami oleh menteri. Bukan isu orang itu nak jadi youtuber, viral dan sebagainya," katanya lagi.

Oleh itu, Fahmi menyeru agar pengundi rakyat Sabah sedar terhadap pengabaian yang dilakukan oleh kerajaan PN ke atas mereka. Rakyat Sabah harus bangkit bagi memastikan kerajaan negeri ditadbir oleh Warisan dan PH yang boleh menggunakan hasil negeri untuk membantu rakyat semampu yang mungkin.

"Saya kaji siapa yang paling banyak bercakap mengenai isu Veveonah ini. Paling banyak di Selangor dan kedua di Sabah.

"Bila kita selidik rupanya ramai anak Sabah yang belajar atau bekerja di Selangor. Jelas anak Sabah marah dan harapan saya agar mereka boleh balik pada 26 September nanti.

"Balik mengundi dan kekalkan kemenangan Warisan - PH agar kita dapat teruskan pembangungan di Sabah dengan baik," katanya lagi.