Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Setiausaha Agung DAP Malaysia pada 6 September 2020 di Batu Gajah
Darjat Tidak Mengatasi Perlembagaan & Undang-undang Negara
Adalah tidak adil kepada banduan-banduan yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman itu di penjara. Undang-undang adalah sama untuk setiap orang warga negara. Perlembagaan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana orang mengatasi orang lain. Kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan adalah dua prinsip Rukun Negara yang harus dijunjung oleh setiap warga Malaysia tanpa sebarang perbezaan darjat.
Seseorang yang telah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah perlu akur. Tidak boleh menggunakan kuasa dan pengaruh untuk tidak dipenjarakan. Tidak ada alasan untuk mengenepikan hukuman dengan alasan rayuan dan sebagainya. Tidak boleh menggunakan darjatnya untuk melarikan diri daripada menjalani hukuman. Ini adalah tidak adil kepada orang-orang yang akur dan menjalani hukuman penjara.
Ramai warga Malaysia menanyakan tentang kedudukan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih tidak dipenjarakan walapun Mahkamah telah menjatuhkan hukuman dengan sejelas-jelasnya. Rakyat tidak faham bagaimakah seorang yang sepatutnya menjadi banduan tetapi berada diluar malah turun berkempen di Pilihanraya Kecil Slim?Adakah undang-undang negara sudah menjadi berat sebelah kerana memberi kelebihan kepada wakil rakyat kerajaan? Adakah kerajaan Perikatan Nasional menggunakan pengaruhnya secara mutlak dalam soal kehakiman?
Bolehkah mantan Perdana Menteri itu bertanding dalam Pilihanraya Umum jika Parlimen dibubarkan sekarang? Jika tidak, bagaimanakah beliau boleh menikmati kelebihan-kelebihan lain mengatasi banduan-banduan yang menjalani hukuman di penjara.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Janganlah kita rosakkan sistem perundangan negara kita. Biarlah undang-undang negara berlaku adil kepada setiap warga Malaysia. Biarlah hakim-hakim kita menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan saksama tanpa mengira darjat orang yang dituduh.
Persoalannya, bolehkah seorang yang dijatuhkan hukuman penjara kerana mencuri ikan di pasar, berada diluar penjara dengan alasan-alasan tertentu? Bolehkah dia secara senang-lenang duduk di warung kopi dan hidup seperti biasa? Inilah antara perkara-perkara yang melintasi minda rakyat biasa yang kurang arif tentang undang-undang. Saya tidak tahu, bagaimanakah kerajaan Perikatan Nasional akan menjawab persoalan-persoalan ini. Yang keruh, harus dijernihkan sebelum nasi menjadi bubur.