Pelabur terus jual ekuiti, ekonomi Malaysia bermasalah
Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia dalam tempoh 1 hingga 3 September 2020, dengan jualan bersih meningkat kepada RM558 juta daripada RM484.9 juta dalam tempoh 24 hingga 28 Ogos 2020.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata Bursa Malaysia mengharungi permulaan yang agak getir pada awal September dengan pelabur antarabangsa melupuskan RM379.9 juta bersih ekuiti tempatan pada Selasa lalu, jumlah yang tidak dilihat dalam sehari sejak April 2019.
Namun begitu, beliau menambah bursa tempatan ditutup hanya 0.3 peratus lebih rendah kepada 1,521.4 mata pada Selasa dengan sentimen sebahagiannya dirancakkan oleh perolehan sektor perkhidmatan China, seperti yang ditunjukkan oleh indeks pengurus pembelian perkhidmatan negara (PMI) yang mengukuh kepada 55.2 pada Ogos daripada 54.2 pada bulan sebelumnya.
“Sementara itu, jumlah penjualan bersih asing merosot dengan ketara kepada RM26.0 juta bersih pada Rabu berikutan kerancakan prestasi semalaman di Wall Street, dipacu oleh data positif kerana banyak wilayah perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani kemelesetan disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini,” kata dipetik Bernama.
Komposit S&P 500 dan Nasdaq melonjak ke paras tinggi baharu pada Selasa selepas data menunjukkan aktiviti pembuatan Amerika Syarikat (AS) memecut pada Ogos, meningkat untuk tiga bulan berturut-turut, disokong permintaan baharu dan tempahan eksport.
Pada Khamis, dana antarabangsa meningkatkan aktiviti jualan mereka dengan mengeluarkan sejumlah RM152 juta bersih ekuiti tempatan.
“Walaupun peningkatan dalam bayaran gaji persendirian AS pada Ogos memberikan sentimen positif kepada pasaran, ia tidak membantu kerana ramai yang masih bimbang dengan ketegangan geopolitik baharu antara AS dan China,” kata Adam.
Ketegangan terkini tercetus selepas Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa para diplomat kanan China di AS perlu mendapatkan kelulusan persekutuan sekiranya mahu mengunjungi pegawai kerajaan dan kampus universiti.
Sementara itu, berdasarkan tempoh dari awal tahun sehingga kini, dana asing telah menjual RM20.89 bilion bersih ekuiti tempatan, mengatasi aliran keluar bersih asing sebanyak RM19.49 bilion pada 2015.
Malaysia, sebagai perbandingan dengan rakan ASEAN yang lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, Malaysia mempunyai aliran keluar bersih asing kedua terbesar selepas Thailand yang mencatatkan aliran keluar bersih asing setakat tahun ini berjumlah AS$8.16 bilion.
Pasaran ditutup pada 31 Ogos 2020 sempena cuti sambutan Hari Kemerdekaan.