ANWAR DAN PKR JAUH LEBIH SELESA TANPA AZMIN


Apakah perkara paling mudah untuk difahami apabila Azmin Ali yang baru menyertai Bersatu tiba-tiba mengatakan dirinya lebih selesa bersama UMNO dan Pas berbanding Anwar Ibrahim.
Walhal, beliau bersama dengan UMNO dan Pas baru saja sejak kira-kira enam bulan yang lalu sedangkan bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat itu telah bekerjasama dengan Anwar dan PKR bermula puluhan tahun dahulu lagi.
Apakah yang menyebabkan UMNO dan Pas lebih didambainya sekarang ini?
Apakah Azmin telah melupai Anwar sebagai bekas bossnya di mana beliau adalah Setiausaha Sulit Anwar selama puluhan tahun sebelum ini?
Apakah Azmin juga telah melupai bahawa PKR adalah tempatnya bertapak dan membina nama dalam dunia politik sehingga memungkinkannya berada di kedudukan sekarang ini?
Apa juga cubaan Azmin untuk memburukkan Anwar dan PKR serta dalam masa yang sama mula mengampu UMNO serta Pas, ia bukanlah sesuatu yang ikhlas, tetapi petanda bahawa Ahli Parlimen Gombak itu belum ada kedudukan yang selamat bersama kedua-dua parti itu dalam PRU akan datang.
Sementara PKR akan mengejar dan meletakkan pesaing yang berkaliber untuk menewaskan Azmin, tak kira di mana saja beliau akan bertanding, UMNO dan Pas Gombak juga telah sepakat menolak kerusi Parlimen Gombak daripada diperuntukkan kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan dan Industri itu.
Lebih daripada itu, UMNO dan BN Selangor di bawah pimpinan Noh Omar juga tegar menolak sebarang kerjasama atau laluan kepada Azmin.
Bermakna, sama ada Gombak atau lain-lain kawasan, kedudukan Azmin adalah tidak selamat selagi UMNO dan Pas tidak sedia memberi laluan serta sokongan kepadanya.
Dalam erti kata lain, walaupun Azmin mengatakan beliau selesa bersama UMNO dan Pas, hakikatnya kedua-dua parti tidaklah selesa untuk bersama dengannya.
Ini kerana, tanpa adanya Azmin dan Bersatu bersama mereka, peluang UMNO dengan Pas adalah lebih cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Gombak.
Maka, apa lagi pilihan yang ada bagi Azmin?
Demi survivalnya, Azmin terpaksa bermuka tebal membodek serta mengampu kedua-dua parti itu, khususnya UMNO walaupun dia tahu tiada pemimpin UMNO yang mahu berdamping dengannya.
Harapannya cuma satu – dengam bodek dan ampunya itu semoga akhirnya UMNO dan Pas dapat memberi laluan dan menyokongnya kerana itulah satu-satunya cara untuk beliau terus dapat bernafas lagi dalam politik di negara ini.
Jika tidak, dengan bertanding bersendirian dan berhadapan dalam pertandingan tiga penjuru dengan UMNO atau Pas dan PH, hampir pasti tiada peluang untuknya menang, tak kira sama ada di kerusi tradisinya di Gombak atau di lain-lain tempat.
Cuma yang pasti, selain Azmin mengatakan beliau tidak lagi selesa bersama PKR dan Anwar, Anwar dan PKR pula sebenarnya jauh lebih selesa sekarang ini setelah tiada lagi Azmin bersama mereka.
Pergilah jauh-jauh Min….(Shahbudindotcom 07/09/2020)

No comments: