PRN Sabah: KEADILAN tidak pernah minta sampai 25 kerusi - Christina Liew





KEADILAN Sabah mendedahkan bahawa parti itu tidak pernah meminta sehingga 25 kerusi untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Christina Liew mengakui parti mahu bertanding lebih daripada lapan kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tidaklah sehingga 25 kerusi.

"Ada laporan yang mengatakan kami tidak berpuas hati sebab mahu 25 kerusi, jumlah itu melampau sangat.

"Bukan 25 kerusi, cuma lebih dari PRU-14. Kita masih berunding, namun apa yang penting adalah kita mesti bekerjasama dan memastikan tidak kira berapa banyak kerusi yang dipertandingkan nanti, kita mesti menang.

"Memenangi semua kerusi dan mengeratkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah, Warisan, Upko adalah amat penting kepada kita," katanya ketika sesi ramah bersama media.

KEADILAN dijangka mempertahankan kerusi Api-Api yang disandang oleh Christina dan merampas semula kerusi Inanam selepas ADUN kawasan itu, Kenny Chua mengalihkan sokongannya kepada Musa Aman.

Dalam pada itu, Christina turut mendedahkan bahawa KEADILAN akan mengetengahkan muka baharu dalam PRN Sabah.

"Kali ini, kita ada muka baharu. Sama ada calon muda, pertengahan umur ataupun yang tua, itu tidak penting. Asalkan mereka bersemangat mahu berkhidmat untuk rakyat dan setia kepada parti serta boleh mempunyai keupayaan untuk menang," katanya.

Penamaan calon bagi PRN Sabah akan berlangsung pada 12 September, dengan hari mengundi awal pada 22 September manakala hari mengundi jatuh pada 26 September.


No comments: