Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
seharusnya peka dengan penderitaan rakyat bukannya terus membuli pihak yang
mengkritik kelemahan mereka.
Bagi Mahasiswa Pakatan Harapan (PH)
tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin
serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri yang konsisten menekan
dan menuduh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Vevenoah Mosibin menipu dengan
membuat rakaman video menjawab peperiksaan di atas pokok dan disiarkan di akaun
You Tubenya amat dikesalkan.
Menurut kenyataan Mahasiswa PH,
tuduhan yang dilemparkan ke atas Vevenoah itu amat bertentangan dengan
kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebelumnya yang
mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk membina menara telekomunikasi
berhampiran kampung pelajar malang itu bagi membolehkan sambungan 4G, sedikit
masa dahulu.
"Amat dikesalkan respon daripada
SKMM bercanggah dengan kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi
Timbalan Menteri yang kekal menuduh Saudari Vevenoah menipu dan sekadar mahu
mendapatkan perhatian.
"Tuduhan yang berat ini sehingga
memberi kesan kepada saudari Vevenoah menggambarkan kerajaan PN langsung tidak
mengendahkan isu realiti mahasiswa malah cuba menutup kelemahan mereka dengan
menuduh dan membuli mahasiswa.
"Mahasiswa PH menuntut kedua dua
Timbalan Menteri PN itu memohon maaf kepada pihak keluarga Vevenoah Mosibin dan
fokus untuk mencari penyelesaian kepada isu akses internet yang kian meruncing,
lebih lebih lagi ketika semua universiti mengamalkan pembelajaran atas
talian," kata kenyataan itu.
Mahasiswa PH juga kesal dengan sikap
berdiam diri Kementerian Pengajian Tinggi dalam hal itu. Kementerian tersebut
menurut mereka wajar menjalankan siasatan tersendiri dan mempertahankan Vevenoah
sekiranya betul gadis tersebut mengambil peperiksaan di atas pokok sebagaimana
yang didakwa.
"Ini satu diskriminasi dan
penghinaan kepada mahasiswa. Mahasiswa PH ingin memohon kepada Kementerian
Pengajian Tinggi untuk campurtangan dalam hal ini kerana Vevenoah merupakan
mahasiswa yang menjadi tanggungjawab Dr Noraini Ahmad.
"Kesombongan dan ketidakpedulian
Kerajaan PN adalah signal yang jelas untuk menolak mereka di dalam PRN Sabah
dan PRU 15 yang akan datang," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh
Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Irfan Mahzan; Pengerusi Mahasiswa AMANAH
Nasional, Amin Mubarak dan Protem Presiden Mahasiswa Roket Calvin Yeoh.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan
beberapa bulan lalu, nama Vevenoah Mosibin tular kerana terpaksa memanjat pokok
untuk mencari capaian internet bagi membolehkan beliau bagi menduduki
peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah.
Kes beliau kembali tular apabila
Zahidi menuduhnya sengaja merakam video untuk populariti sedangkan beliau tidak
mengambil apa-apa peperiksaan ketika rakaman berkenaan dibuat.