KEEGOAN PEMIMPIN YANG PERLU DIAJAR



Dua Timbalan Menteri, Zahidi Zainul Abidin dan Abdul Rahim Bakri yang cuba berbalah dan menunjukkan keegoan terhadap Veveonah Mosibin, adalah pemimpin UMNO.
Zahidi adalah Ahli Parlimen Padang Besar, masih Ketua UMNO bahagian tersebut dan menang pada PRU14 lalu atas tiket BN.
Abdul Rahim pula adalah Ahli Parlimen Kudat, menang atas tiket BN pada PRU14 lalu, tetapi kemudian melompat menyertai Bersatu setelah BN hilang kuasa.
Realitinya UMNO kalah PRU lalu, namun kedua-dua pemimpin berkenaan berjaya menjadi timbalan menteri berikutan bertukarnya kerajaan melalui pintu belakang.
Kalau ikut pintu depan dan tidak menjadi katak, kedua-duanya masih lagi merupakan Ahli Parlimen di blok pembangkang.
Sebab itu, apabila kedua-dua pemimpin tersebut cuba berbalah, menunjukkan keras kepala dan lebih ingin mencari salah Veveonah dalam isu isu liputan internet di pedalaman sehingga pelajar berkenaan tiada pilihan selain memanjat pokok untuk mendapatkan liputan yang lebih baik, hakikatnya mereka adalah pemimpin yang sombong diri serta ego.
Kenapa mereka sombong dan ego?
Mereka menjadi sombong dan ego ialah kerana walaupun kalah dalam pilihanraya dan UMNO sudah ditolak rakyat, mereka akhirnya masih mampu duduk sebagai timbalan menteri dalam kerajaan.
Lalu, itulah yang menjadikan perasaan sombong dan ego makin membesar dalam diri mereka sehingga dengan rakyat pun mereka mahu mencari gaduh.
Sebagai wakil rakyat, pemimpin kepada rakyat dan mengharapkan undi rakyat setiap lima tahun, berkelahi dan menunjukkan keegoan terhadap rakyat bukanlah pilihan yang bijak.
Ini kerana, mahu tidak mahu, untuk terus kekal sebagai pemimpin, mereka akhirnya tetap memerlukan sokongan daripada rakyat.
Adalah lebih terpuji jika seseorang pemimpin itu mengakui kelemahan kerajaan dalam soal liputan internet, terutama di pedalaman yang dihadapi oleh Veveonah itu dan kemudian berusaha mengatasi atau menambahbaiknya.
Lagi pula, bukankah kerja pemimpin adalah berkhidmat kepada rakyat?
Lebih memalukan kedua-dua pemimpin itu, bukan saja kerana salah seorang daripadanya terpaksa memadam posting di media sosial berikutan kritikan rakyat yang makin merata, malah kemudian disahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Masidi Manjun bahawa memang Veveonah menduduki peperiksaan dalam talian ketika dia memanjat pokok itu.
“Memang betul Veveonah menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian ketika itu, dokumrn juga telah ditunjukkan sebagai bukti,” kata Masidi lagi.
Sekarang siapa yang malu?
Tetapi, isu ini tidak harus berakhir di sini saja sebenarnya.
Isu ini adalah lambang keegoan dan sombong diri pemimpin UMNO atau yang berasal daripada UMNO dalam menangani hal ehwal melibatkan rakyat.
Tiada lain, sama ada dalam PRN Sabah 26 September ini atau pada PRU15 akan datang, parti yang mewakili kedua-dua pemimpin itu haruslah ditolak pengundi secara mutlak.
Jika tidak, keegoan pemimpin seperti itu atau sejenis dengannya akan terus berulang lagi. 

(Shahbudindotcom 09/09/2020)


No comments: