PRN Sabah: KEADILAN mahu bertanding 14 kerusi, tawar calon berwibawa





Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ingin meletakkan calon di 14 kerusi DUN Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Simsudin Sidek berkata, walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan khususnya WARISAN, KEADILAN hanya bertanding 6 kerusi Parlimen dan 8 DUN pada 2018.

Sehubungan itu, jumlah 14 kerusi adalah munasabah ketika jumlah kerusi mengalami pertambahan berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

"Atas sebab itu, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon DUN, satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN Sabah 2020.

"Kali ini, KEADILAN melakukan tapisan rapi untuk memastikan calon-calon yang berwibawa, termasuk muka-muka baharu anak muda dan wanita.

"Ini komitmen KEADILAN untuk mengembalikan mandat rakyat kepada Kerajaan Negeri yang diterajui WARISAN, Pakatan Harapan dan UPKO pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal dalam PRN 2020," kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Simsudin lagi, kehadiran KEADILAN di Sabah bukan perkara baharu. Katanya, pada pilihan raya sulung yang disertai parti pada 1999, KEADILAN bertanding 3 kerusi Parlimen di negeri itu.

Pada PRU 2013, KEADILAN menang 1 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN. Dalam PRU 2018, KEADILAN menang 3 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN.

Dengan jumlah keahlian parti yang telah melepasi 100,000 dan mempunyai jentera pilihan raya yang mantap KEADILAN dijangka mampu menggalas cabaran yang lebih besar.

"KEADILAN mempunyai keahlian mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

"Sebagai sebuah parti pelbagai kaum yang telah lama menyertai pilihan raya, KEADILAN kali ini berhasrat menampilkan calon Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina. KEADILAN juga ingin mempunyai calon di segenap pelusuk Sabah," katanya lagi.

Dua rundingan terakhir KEADILAN-WARISAN sebelum ini melibatkan Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi KEADILAN mendapat reaksi yang baik daripada pimpinan kedua-dua belah parti.

Kerusi-kerusi yang akan ditandingi KEADILAN adalah seperti berikut:

1. N. 20 Api-Api
2. N. 18 Inanam
3. N. 09 Tempasuk
4. N. 14 Tamparuli
5. N. 05 Matunggong
6. N. 32 Klias
7. N. 45 Sook
8. N. 43 Kemabong
9. N. 61 Segama
10. N. 27 Limbahau
11. N. 51 Sg Manila
12. N. 31 Membakut
13. N. 08 Pintasan
14. N. 23 Petagas


No comments: