Perikatan Nasional gali semula warisan gelap BN

Perikatan Nasional gali semula warisan gelap BN



Saya tidak pasti sejauh mana kerajaan Perikatan Nasional tanpa mandat rakyat ini berhasrat serius mahu membawa negara ke era gelap kebebasan bersuara. Namun isyarat dan mesej semakin jelas dihantar, agenda pembaharuan akan dipatahkan, dan kebiasaan lampau sedang dimurnikan.
Sebelum Pakatan Harapan berjaya mengambil kuasa dalam PRU14 dua tahun lalu Malaysia tergolong dalam kategori negara yang menekan kebebasan akhbar dan mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat terhadap pemilikan media serta mengongkong operasinya. Begitu sukar untuk mendapatkan permit, tetapi agak mudah kebenaran itu ditarik balik. Pengedaran lidah rasmi pembangkang juga perlu melalui sekatan yang rumit
Regim Najib Razak runtuh selepas lebih 60 tahun BN-Perikatan berkuku. PH berjanji untuk membawa pembaharuan dan agenda reformasi, termasuk menghapuskan pelbagai akta drakonian yang bercanggah dengan hak asasi manusia. Dr Mahathir Mohamad semasa berkempen di Langkawi pada malam pengundian, 9 Mei 2018, bertekad mahu mewujudkan kerajaan yang tidak terlalu berkuasa.
Beberapa perubahan awal selepas menang mengejut itu, Dr Mahathir dalam pertemuan tertutup dengan pengamal media pro-PH, mengumumkan dasar-dasar terbukanya mengenai kebebasan bersuara dan pemilikan media. Parti kerajaan tidak lagi menguasai akhbar atau stesen televisyen strategik.
Semasa Umno berkuasa dahulu, akhbar-akhbar utama dan saluran TV dikawal mutlak; penerajui utama sidang editorialnya ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Jika berlaku perubahan kepimpinan tertinggi parti, termasuk di peringkat timbalan presiden, misalnya membabitkan Musa Hitam dan Anwar Ibrahim, ketua-ketua editor juga turut dirombak.
Di kala kerajaan BN memerintah, semua akhbar utama, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil, dikuasai secara langsung oleh parti-parti komponen gabungan itu. Namun, apabila PH mengambil alih, tiada usaha serius bagi memiliki mana-mana media. Jika ada kecenderungan laporan ke arah mesra-PH, ia lebih kepada pilihan pemilik media tersebut, selain portal-portal berita yang sedia membuat liputan yang seimbang dan bebas.
Malah, timbul kritikan yang agak meluas, khususnya di kalangan pendukung PH, bahawa agensi-agensi media rasmi, seperti Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan pun tidak berfungsi secara berkesan dan profesional bagi menyalurkan maklumat kerajaan, apatah lagi untuk menangkis serangan agresif pembangkang.
Seorang bekas Menteri Penerangan mendedahkan, “saya dua kali di Angkasapuri, di situ lubuk Umno dan mereka langsung tak berfungsi untuk pertahan kerajaan PH.” Ada juga yang mempersoalkan mengapa kementerian (komunikasi dan multimedia) yang begitu strategik, khususnya kepada masyarakat Melayu luar bandar boleh diserahkan kepada pemimpin DAP.
Masa sama, agak ramai juga yang mengeluh tidak puas hati dengan jaminan kebebasan bersuara kerajaan baharu sehingga dilihat berleluasa tohmahan tanpa asas, fitnah merebak, berita palsu dihebahkan tanpa kawalan, sentimen perkauman disuburkan, perasaan kebencian termasuk atas dalil agama tambah parah.
Kenyataan menghina Islam dan institusi Melayu digambarkan seperti tidak dipandang serius kerajaan. Kesimpulannya, seolah-olah kebebasan bersuara telah menyebabkan orang semakin berani menyentuh sensitiviti kaum-agama dan menikam balik kerajaan. Pemerintah pula dilihat tidak tegas atau berani menguatkuasa undang-undang.
Sehingga ada desakan dalaman agar kerajaan waktu itu mengetatkan kembali peraturan berkaitan kebebasan bersuara. Perlu tindakan dan hukuman yang keras ke atas penyebar berita palsu, juga fitnah dan pembohongan termasuk dalam kumpulan Whatsapp dan media sosial.
Malah tidak sedikit yang mahu kerajaan menarik balik ruang kebebasan yang dijamin kerajaan. Media awam pula digesa berfungsi sebagai jentera propaganda, terutama untuk menyanggah dakyah pembangkang. PH turut disaran agar memiliki media sendiri, seperti Umno dahulu, supaya rakyat mudah dibekalkan dengan informasi tepat.
Ada yang mempersoalkan, untuk apa kita membebaskan media jika akhirnya kerajaan terpaksa menanggung bebanan sehingga memungkinkan kuasa terlucut. Pada satu peringkat, seolah-olah PH telah kalah dalam perang persepsi. Kerajaan PH digambarkan hanya mampu bertahan sepenggal.
Gabungan pembangkang Umno-Pas yang membentuk Muafakat Nasional seperti menguasai naratif perkauman yang dilakar. PH dalam keadaan tertekan dan sekadar bertahan. Keputusan siri pilihan raya kecil, khususnya di Cameron Highlands, Semenyih dan paling teruk di Tanjung Piai memburukkan lagi keadaan.
Jarum halus rupanya menyelinap ke dalam Bersatu; tanpa diduga sudah berjalan perancangan licik untuk mengeluarkan parti itu daripada gabungan PH. Polemik peralihan kuasa perdana menteri dan krisis kepimpinan PKR, umpama retak menunggu belah, tetapi tidak ditangani secara serius.
Di kalangan teman-teman, sebahagiannya aktivis PH, juga luahan perasaan dalam media sosial, saya dapat mengesan mesej yang jelas, bahawa mereka tidak senang dengan perdebatan awam yang nampak begitu bebas, sehingga mengungkit isu-isu sensitif dan mudah memarak lagi api perkauman.
Lebih ramai tidak bersetuju dengan pengendalian media kerajaan terutama apabila banyak persoalan berkaitan dasar- dasar awam tidak dijawab dengan efektif. “PH berkuasa sekarang, tapi realitinya kita diasak kiri-kanan, dengan fitnah dan tohmah, malangnya ramai orang Melayu mudah terpengaruh. Tambah buruk bila ramai kakitangan tinggi awam seperti masih memihak Umno dan tidak mendukung pembaharuan. Faktor daulah terpendam ini kurang dipandang serius walhal impaknya cukup buruk,” hantaran FB seorang rakan dipetik.
Secara peribadi, saya tidak bersetuju kebebasan bersuara kembali dikongkong. Biarlah zaman gelap yang menjadi saksi perlawanan kebenaran-kebatilan itu ditimbus sejarah. Ia detik hitam yang memalukan negara. Usah digali semula. Pembohongan dan penindasan pasti tidak kekal lama. Mungkin pengkhianatan ada masanya nampak berjaya. Komplot jahat bersama gerombolan opurtunis yang sentiasa hadir dalam mana-mana zaman. Pembebasan seiring dengan pencerahan. Bagaikan sinar matahari pagi yang indah.
Mungkin ramai beranggapan kebebasan bersuara yang dipelopori PH yang lalu membuka ruang luas buat kritikan, kecaman, juga fitnah bertali arus sehingga melemahkan kerajaan. Sebenarnya pandangan itu tidak pernah dibuktikan. Keruntuhan kerajaan banyak disumbangkan oleh konflik dalaman PH, berpunca krisis kepimpinan PKR dan persepsi dangkal kelompok Bersatu tentang pengaruh DAP, dibantu kerakusan Umno-Pas untuk cepat berkuasa tanpa melalui PRU15.
Dalam setiap masa, pasti menyelinap oportunis yang licik menangkap peluang. Di pihak pemerintah pula, terutama apabila baru sahaja mengambil alih daripada regim berakar lebih separuh abad, dan dalam konteks Malaysia, risiko membaca-mengawal sentimen perkauman sentiasa terdedah. Gabungan pemerintah pula begitu lama terendam dalam budaya kepembangkangan dan sedang belajar saling memahami berkongsi kuasa.
Mungkin juga pengendali media awam, seperti Bernama dan RTM, tersilap menafsirkan dasar baharu. Polisi kebebasan media adalah hal berbeda dengan memastikan fungsi berkesan untuk agensi berita kerajaan. Ia harus sentiasa proaktif menjelaskan polisi pemerintah, menjelaskan kekeliruan dan menyanggah tohmahan, secara berkesan dan kreatif.
Mereka sendiri mesti arif dengan pendirian kerajaan dan cermat menghalusi sensitiviti dan tanggapan umum. Amat tidak bijaksana mengekalkan pengendali lama yang masih teragak-agak untuk menyokong agenda reformasi. Saya sendiri kurang faham mengapa cadangan menukar orang kuat Bernama dengan editor berpengalaman, yang pernah bertugas dengan akhbar DAP terpaksa dibatalkan sedangkan beliau lebih dikenali sebagai bekas wartawan ternama dengan pelbagai media popular. Nampak tiada ketegasan untuk membawa pembaharuan, hanya kerana segelintir membantah atas faktor beliau pernah bertugas dengan DAP.
Sebenarnya zaman kerajaan menguasai atau memonopoli segalanya, terutama maklumat, sudah berlalu. Kerajaan juga tidak boleh dilihat begitu berkuasa sehingga semua naratif mahu ditentukannya. Apa yang menyimpang terus dianggap berita palsu, dan boleh dijatuhkan hukuman.
Benar, tiada kompromi terhadap fitnah tetapi ia mesti dibedakan dengan komentar yang adil. Undang-undang perlu dikuatkuasakan kepada penyebaran fitnah tetapi ia tidak sewajarnya menghalang kritikan dan teguran. Ia juga bukan alasan untuk menafikan keterbukaan dan transparen. Media bebas selamanya tonggak penting dan tiang seri demokrasi.
Malah, kejatuhan kerajaan PH, bagi saya, tiada kaitan dengan dasar keterbukaan yang masih dalam proses penambahbaikan. Agenda pembaharuan dalam landasan yang betul, seperti janji manifesto. Biarpun dikatakan perang persepsi dikuasai pembangkang, tetapi ia bukan alasan untuk menamatkan dasar terbuka.
Setiap cabaran wajar ditangani dengan bijaksana; dan sebahagiannya perlu dijawab oleh media parti atau membiarkan kepada perdebatan awam yang bebas. Zaman memperkakas kemudahan kerajaan dan mengongkong kebebasan media demi kepentingan politik kepartian sudah berlalu. Sayang sekali media parti PH seperti kehilangan bisa selepas berkuasa. Rungutan keresahan rakyat terbiar tanpa jawapan.
Naratif perkauman dan keagamaan sempit tidak dicabar dengan berkesan. Mungkin tugasan rasmi kerajaan menarik sebahagian besar tumpuan. Lebih malang, menjelang separuh penggal, ketika hasil dijangka dapat dituai, kudeta merampas segalanya angkara pembelotan.
Peralihan kerajaan tanpa mandat rakyat itu bukan hanya menjejaskan komitmen pembaharuan berkaitan kebebasan bersuara, malah menimbulkan keresahan tentang usaha menyeluruh proses pembaikan yang mungkin terbantut atau terbatal.
Sudah terserlah bibit-bibit awal persamaan di antara regim Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional. Bukankah Umno menjadi teras kedua-dua pemerintahan itu, manakala sebahagian besar ahli Parlimen Bersatu pula merupakan wakil rakyat Umno yang menang atas tiket BN dalam PRU14 lalu.
Saya sedar, idea tentang kebebasan media ini bakal menjadi polemik yang panjang; mungkin ramai aktivis PH tidak bersetuju khususnya ketika berkuasa dahulu. Ya, ia boleh mengheret penguasa ke kancah yang sukar dan kerajaan terdedah dengan pelbagai risiko.
Saya terbuka dengan perbahasan, sambil mengakui kemungkinan ada kesilapan sewaktu mengatur prioriti keutamaan dalam pentadbiran baharu dulu. Segalanya tidak pernah berakhir. Medan perjuangan ini belum tamat. Senario PRU15 tentu berbeda, namun iktibar pengalaman separuh penggal ini usah dipersiakan. Kita berdiri di atas korban yang rebah ditembak pengkhianat di depan.


No comments: