Kenyataan terbaru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, yang meletakan kesalahan utama menangani wabak Covid-19 ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah publisiti murahan yang menunjukkan persamaan sikap beliau dengan Presiden Trump yang menyalahkan semua orang lain tetapi menganggap hanya diri sendiri sempurna dalam menghadapi Covid-19.
Bagaimanapun satu perbezaan amat ketara antara Trump dan Adham adalah Trump sangat berani muncul membuat kenyataan media dan menerima kritikan media. Adham pula seolah-olah baru pulang bercuti dan baru muncul kembali selepas insiden kata-kata mutiara nasihat minum air suam menangani wabak Covid-19.
Ke mana dan kenapa beliau ‘menghilangkan diri’ di saat kritikal selepas episod air suam menjadi misteri dan kami menaruh harapan kemunculan semula membawa peningkatan prestasi kenyataan dari beliau.
Malangnya kenyataan Adham selepas begitu lama menyepi masih di tahap lama yang mengecewakan apabila beliau menyalahkan pihak PH yang beliau dan rakan pintu belakang PN telah nyahkan dari kerajaan.
Beliau sedia maklum sejak Disember 2019 lagi wabak Covid-19 telah melanda Malaysia dan dunia tetapi kerana nafsu amarah hendak menjadi kerajaan sangat, kepentingan rakyat dan negara diketepikan.
Semua maklum kalau sebuah kenderaan yang sedang bergerak akan dilanda masalah keselamatan kalau ditukar pemandunya di tengah tengah jalan berbukit dan akan berhadapan dengan bahaya.
Gerakan menukar kerajaan melalui ‘Sheraton Move’ bermula pada 23 Februari dan mulai 24 Februari tiada lagi Kabinet PH yang wujud dan sesi Tabligh Sri Petaling bermula pada 27 Februari sehingga 1 Mac 2020..
Setelah merebut kuasa dari PH, Tan Sri Muhyiddin perlu melayani pula perebutan jawatan kabinet dari Pakatan Nasional (PN) yang mengambil masa lama sehingga 10 Mac untuk kabinet dilantik.
Ramai pihak melalui media telah menggesa Muhyiddin melantik Menteri Kesihatan interim dahulu untuk menangani wabak Covid-19 yang telah menular masa itu tetapi ia tidak di layan kerana PN terlalu asyik berebut ghanimah perang.
Sebagai seorang doktor berpengalaman yang mempunyai puluhan klinik di seluruh Malaysia Adham sepatutnya menasihati Perdana Menteri demi keselamatan rakyat tetapi tiada yang bertindak kerana terlalu kusyuk mengejar jawatan masing-masing.
Akhirnya selepas 17 hari menumbangkan kerajaan PH dan tawar menawar hadiah kedudukan, terbentuklah kabinet terbesar Malaysia dengan 70 orang ahli dan Idham dihadiahkan 2 Timbalan Menteri yang sepatutnya boleh membantu menghadapi Covid-19. Malangnya minggu-minggu awal dengan 3 orang Menteri dan Timbalan, Adham hanya mampu memberi demonstrasi pakai topeng dan nasihat air suam sebelum beliau hilang dari radar sehinggalah beberapa hari lepas.
Merujuk isu kluster Tabligh Sri Petaling yang Adham menyalahkan kerajaan PH, sebenarnya beberapa minggu dahulu saya telah berkali-kali menulis menggesa kerajaan mengumumkan tempat asal kampung serta bandar peserta Tabligh tersebut supaya warga kampung berkenaan boleh mengambil langkah berjaga-jaga sendiri apabila mendekati surau, masjid atau tempat pusat kumpulan tersebut. Ianya tidak dilakukan.
Dalam masa yang sama kerajaan mengumumkan lokasi kluster lain seperti Pantai Dalam dan Petaling Jaya di Lembah Klang supaya orang boleh lebih berhati-hati.
Kenapa perbezaan diskriminasi di antara lokasi kluster di kampung dan di bandar besar seperti Petaling Jaya dan sebagainya yang boleh diumumkan? Adakah keselamatan orang bandar lebih penting daripada orang kampung? Kalau ini telah dilakukan saya percaya mangsa boleh dikurangkan.
Adham juga perlu ingat kelulusan Himpunan Tabligh Sri Petaling terletak di bawah kelulusan Menteri Dalam Negeri, dan bukan Menteri Kesihatan, yang dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa itu. Adakah Adham membuat sindiran Tan Sri Muhyiddin mungkin terlepas pandang meluluskan himpunan tersebut kerana terlalu ghairah berusaha membentuk Kerajaan Pintu Belakang PN?
Lagipun perlu diingat himpunan Tabligh Sri Petaling berakhir pada awal Mac 2020 di mana Perdana Mentri telahpun dilantik dan Kerajaan PH tidak lagi berkuasa sejak 24 Februari 2020.
Yang meluluskan himpunan Tabligh Sri Petaling adalah Kementrian Tan Sri Muhyiddin, pergolakan negara di peringkat kritikal krisis Covid-19 dicetus oleh rampaaan kuasa oleh PN, kelambatan melantik Kabinet adalah akibat masalah dalaman PN dan Adham dan dua orang Timbalan Menteri adalah Menteri bertanggungjawab menangani wabak Covid-19. Kenapa pula pihak Kerajaan lama PH dipersalahkan?
Sebenarnya adalah satu hikmah besar Adham telah hilang dari radar kerana Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah muncul sebagai wira negara menerajui perang wabak Covid-19. Penampilan profesional dan cekal Datuk Dr Noor Hisham telah memberi harapan dan kepercayaan kepada rakyat dengan pengiktirafan badan antarabangsa. Adham kelihatan cemburu terhadap kejayaan Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham dari awal telah memberi pengikitirafan terhadap asas yang baik dan kukuh dari masa Kerajaan PH di bawah mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly sejak akhir tahun 2019 lagi. Dr Noor Hisham juga sering muncul bersama Dr Dzulkefly di media hampir setiap malam pada awal krisis Covid-19.
Perbezaan besar sejak era Adham menjadi Menteri Kesihatan dan perbandingan dengan negara-negara lain, termasuk semasa waktu mantan Dr Dzulkefly masih Menteri, adalah kemunculan setiap malam Menteri Kesihatan bersama dengan Pengarah Kementerian Kesihatan mereka di media serta kaca mata telivisyen.
Di mana dan kenapakah Adham menghilang diri dari sidang media kebelakangan ini selepas nasihat air suam beliau? Dr Noor Hisham banyak muncul bersendirian.
Adakah kebetulan Adham mula muncul semula sejak wabak Covid-19 mula kelihatan lebih terkawal?
Sebaik sahaja muncul semula di media berhujah tentang Covid-19, Adham menunjukkan igauan memburukkan mereka dari kerajaan PH sebelumnya yang telah mengasaskan landasan kukuh perang Covid-19 bersama Dr Noor Hisham.
Seperti juga contoh Presiden Trump, yang menyalahkan orang lain seperti Badan Kesihatan Dunia serta Governor Amerika negeri lain, ianya tidak akan mengubah persepsi orang terhadap kelemahan Adham sendiri.
Saya ingin menasihati dan menggesa Adham sekembalinya beliau semula ke barisan hadapan Kementerian Kesihatan, tanganilah gelagat Menteri-Menteri PN yang membazirkan pakaian PPE yang amat diperlukan, pelanggaran peraturan oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang melanggar peraturan MCO dengan berkumpul dan menjamu selera beramai ramai.
Rakyat melihat orang kampung didenda kerana ke masjid dan keluar mencari keperluan sementara Menteri dan VIP dari PN masih mencerminkan budaya kebal di antara dua derajat seperti tular di media sosial. Jangan cuba mengalih pandangan masalah sebenarnya dari gelagat Menteri PN sendiri.
Adham perlu ingatkan rakan-rakan PN dan diri sendiri, mereka telah menggangu tumpuan mengambil alih kerajaan waktu kritikal fasa wabak Covid-19 di peringkat awal dan hingga kini masih bertelagah menuntut jawatan GLC dan Menteri untuk kepentingan diri sementara rakyat masih bergelut untuk survival.
Janganlah mencari kambing hitam dan mencari modal politik sekarang kerana perjalanan memerangi Covid -19 masih panjang dan jauh.
Sementara Kerajaan PN masih berebut hadiah rampasan kuasa, wira sebenarnya pada mata rakyat adalah Dr Noor Hisham dan kakitangan kerajaan Kementrian Kesihatan serta pasukan Kesihatan yang bertarung nyawa menyelamat pesakit.
Cukuplah ahli politik membazirkan pakaian keselamatan PPE mereka kerana ini boleh menyelamatkan nyawa mereka yang mengambil risiko berkorban besar dan juga pesakit yang sangat memerlukan bantuan berkesan mereka.
Jika perlu membuat lawatan politik rasmi di hospital sekali pun, Menteri-menteri bolehlah mengenakan topeng muka keselamatan sahaja sebagai tanda menghormati nyawa wira sebenarnya iaitu kakitangan kesihatan yang memerlukan PPE dan merupakan wira sebenarnya hari ini.
Cubaan Adham dan Kerajaan PN untuk mencuri perhatian murahan usaha memerangi Covid-19 sementara mereka masih juga asyek bergelut merebut kuasa dan kekayaan Negara melalui perlantikan GLC dan kerusi Mentri Kerajaan akan mengundang bahaya besar kepada nyawa rakyat Malaysia.