Kluster PUI Bali: 43 kes disahkan positif Covid-19

Kluster PUI Bali: 43 kes disahkan positif Covid-19

Sebanyak 43 kes positif Covid-19 dikesan daripada kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Bali, di sebuah pusat perubatan di Kuantan dengan 10 kes daripadanya melibatkan anggota kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini seramai 30 pesakit sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Pahang.
“Sembilan orang telah sembuh, seorang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala tiga orang telah meninggal dunia (kes ke-1575, kes-5064 dan kes-4129.
“Sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, melibatkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan tersebut. Daripada 43 kes yang disahkan positif di dalam kluster ini, sebanyak 10 orang adalah anggota kesihatan pusat perubatan.
“Langkah-langkah kawalan penularan jangkitan wabak ini sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat KKM, termasuk proses dekontaminasi dan pemindahan pesakit ke hospital-hospital KKM yang berdekatan.
“Ini adalah untuk memastikan pusat perubatan tersebut selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua anggota kesihatan kerajaan dan swasta tentang kepentingan untuk menggunakan alat penutup mulut dan hidung, terutamanya semasa mengendalikan kes-kes Influenza Like Illness (ILI) / Severe Acute Respiratory Infection (SARI).
Selain itu beliau berkata, pemakaian alat pelindung diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal adalah amat penting.
“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan turut dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian PPE mengikut keperluan,” ujarnya lagi.

No comments: