UMNO HANYA PERALAT MUHYIDDIN, IBARAT HABIS MADU SEPAH DIBUANG



Membaca kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan tentang kedudukan parti itu dalam PN serta hubungannya dengan Bersatu dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kesimpulan paling mudah untuk difahami ialah ia hanya sehingga tarikh Parlimen dibubarkan saja.

Sebaik saja Parlimen dibubarkan dan untuk menghadapi PRU15, UMNO akan segera meninggalkan PN serta mengucapkan “bye bye” kepada Muhyiddin dan Bersatu.

Sebaliknya UMNO akan kembali kepada Muafakat Nasional atau MN yang dibentuknya bersama Pas, selain terus kekal sebagai tunjang kepada BN yang turut dianggotai oleh MCA, MIC dan PBRS.

Malah, dengan lebih awal memaklumkan status hubungannya itu, UMNO sebenarnya sudah pun mengucapkan salam perpisahan kepada Muhyiddin.

Ke mana Muhyiddin dan Bersatu mahu pergi selepas Parlimen dibubarkan nanti bukan lagi urusan atau hal yang mahu diambil berat oleh UMNO, meski mereka sebelumnya bersama-sama dalam kerajaan.

Nasib Muhyiddin dan Bersatu di mata UMNO tak ubah bak kata pepatah – habis madu sepah dibuang.

Kenyataan Mohamad Hasan atau Tok Mat berhubung perkara itu boleh didapati di sini https://shahbudindotcom.net/2020/04/25/timbalan-presiden-sahkan-umno-tidak-bersama-pn-dan-bersatu-dalam-pru15-akan-datang.html

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Tok Mat, UMNO sebagai tunjang kepada BN hanya ada kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional saja.

Dengan Bersatu atau PN, UMNO sama sekali tidak ada sebarang hubungan atau ikatan apa-apa dengannya.

Bermakna juga, tindakan UMNO menyokong Muhyiddin hanyalah semata-mata untuk membolehkan parti itu kembali menjadi kerajaan sementara menunggu Parlimen dibubarkan yang selewat-lewatnya mesti diadakan sebelum tahun 2023.

Sebelum ini, Pas melalui Naib Presidennya, Mohd Amar Abdullah turut membuat kenyataan yang hampir sama dengan apa yang dinyatakan oleh Tok Mat.

Kata beliau, kerjasama politik Pas dalam PN bukan suatu ikatan yang konkrit, tetapi hanya diwujudkan untuk menyelesaikan kelompongan politik yang berlaku ketika itu.

”Ikatan ini bukan ikatan yang konkrit, sebab pada waktu itu mungkin boleh saya katakan ia bersifat ad-hoc untuk menyelamatan keadaan apabila Tun Mahathir Mohamad letak jawatan dan negara tidak ada kerajaan.

“Jadi untuk menyelamatkan keadaan pada waktu itu, parti PAS, UMNO dan BN terpaksa buat keputusan segera dan daripada itu lahirnya Perikatan Nasional.

“Nama Perikatan Nasional pun tak tahu siapa yang bagi. Kita pun hairan dari mana keluar nama (PN) itu.

“Tetapi sebenarnya untuk selamatkan negara daripada kelompongan politik yang berlaku ketika itu,” katanya lagi.

Kenapa UMNO dan Pas hanya mahu fokus kepada MN dan tidak kepada PN, sedangkan melalui PNlah kedua-dua parti itu dapat jadi kerajaan meskipun ditolak pengundi pada PRU14 lalu?

Jawapan mudahnya ialah UMNO dan Pas bertanding di kawasan yang sama iaitu kawasan majoriti Melayu sejak sekian lama.

Oleh kerana sudah ada kerjasama melalui MN, UMNO dan Pas mesti berbahagi-bahagi kerusi untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri serta untuk memastikan kemenangan lebih terjamin dalam PRU15 akan datang.

Sementara proses pembahagian kerusi itu belum lagi bermula dan ia dijangka bukan sesuatu yang mudah kerana UMNO dan Pas masing-masing ada kekuatan serta pemimpinnya sendiri yang sentiasa ghairah untuk bergelar YB di setiap kawasan Parlimen, melibatkan pula Bersatu dalam perebutan itu tentulah menjadikan rundingan akan bertambah rumit lagi.

Maka, jalan mudah ialah UMNO dan Pas hanya perlu komited kepada MN saja dan melupakan PN, Bersatu dan Muhyiddin.

Untuk itu, apa nasib Bersatu, Muhyiddin dan mereka yang menyokongnya serta tidak sedarkah beliau bahawa dirinya kini hanya diperalatkan oleh UMNO dan Pas untuk mereka jadi kerajaan dengan harapan MN lebih selesa memenangi PRU akan datang? (ShahbudinHusin 25/04/2020)

No comments: