KENYATAAN MEDIA MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN



7 April 2020

KERAJAAN PERLU BERHENTI MENYALAHKAN PENJAWAT AWAM

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan mutakhir ini berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tindakan Kerajaan memecat jawatan-jawatan lantikan Kerajaan sebelum ini daripada golongan professional pada masa ini adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.

Kami berpandangan Kerajaan tidak seharusnya bertindak melulu ketika negara sedang berhadapan dengan bencana wabak Covid-19.

Kerajaan perlu menumpukan segala daya usaha dalam memerangi wabak ini dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama dan bukannya bermain agenda politik.

Kami juga mengambil maklum tindakan Kerajaan menarik balik kebenaran kepada beberapa syarikat penjualan arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksana.

Namun demikian tindakan Kerajaan yang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit adalah satu penghinaan terhadap kakitangan awam.

Menteri terbabit seharusnya mengambil tanggungjawab berdepan dengan masyarakat dan menyatakan kesilapan, bukannya berdiam diri atau menuding jari ke pihak lain.

Adalah jelas bahawa kuasa untuk meluluskan perkara dasar yang bukan pentadbiran terletak kepada Menteri yang terlibat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) ini. 

Tindakan seperti ini bukan sahaja memperkecilkan kredibiliti dan integriti penjawat awam tetapi juga menjatuhkan semangat mereka yang setia berkhidmat dalam tempoh PKP ini. 

Oleh itu, kami mengharapkan Perdana Menteri dan Kerajaan dapat memberikan komitmen penuh dalam meneruskan usaha reformasi institusi pentadbiran dan politik. 

Ini termasuklah memperkasakan perkhidmatan awam dengan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada penjawat awam agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan profesional tanpa tekanan atau ancaman.

Kami juga mengharapkan tadbir urus bagi agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan akan terus bebas daripada cengkaman parti politik dengan memastikan lantikan pengerusi dan ahli lembaga adalah dari kalangan profesional yang berpengalaman dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik (DAP)


No comments: