Firma swasta tawar AS$2.5 bilion ambil alih Malaysia Airlines


Golden Skies Ventures berjanji tidak akan membuang 13,000 pekerja barisan depan atau menjual aset Malaysia Airlines.
KUALA LUMPUR: Syarikat swasta Golden Skies Ventures (GSV) menawarkan AS$2.5 bilion untuk mengambil alih sepenuhnya Malaysia Airlines, melalui pembiayaan daripada sebuah bank Eropah, eksekutifnya memberitahu Reuters semalam.
GSV mengemukakan tawaran itu sebulan lalu, ketika syarikat penerbangan di seluruh dunia berdepan sekatan perjalanan susulan penularan pandemik Covid-19.
“(Kami sudah mendapat) lebih AS$2.5 bilion daripada bank. Kami akan mengambil 3 hingga 4 bulan untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang,” kata Ketua Eksekutifnya, Shahril Lamin kepada Reuters dalam wawancara telefon.
GSV turut menerima komitmen daripada sebuah firma ekuiti swasta Jepun untuk menyuntik dana segera ke dalam kumpulan penerbangan itu melalui perjanjian ekuiti.
The Edge Weekly mula melaporkan tawaran GSV itu hujung minggu lalu.
GSV enggan menamakan syarikat terbabit dan ia sedang berunding dengan bank serta firma ekuiti swasta asing lain untuk mendapatkan pembiayaan.
GSV sudah menyerahkan tawaran itu kepada Morgan Stanley yang diupah pemilik tunggal syarikat penerbangan negara itu, Khazanah Nasional Bhd.
Sebelum ini, Air France-KLM, Japan Airlines, AirAsia Group Bhd dan Malindo Air dikatakan menunjukkan minat untuk mengambil alih Malaysia Airlines.
GSV berkata, ia menganggap kebanyakan hutang syarikat penerbangan itu dipegang kerajaan dalam bentuk bon Islam yang belum dibayar.
Khazanah dan Morgan Stanley tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk komen.
Tawaran itu termasuk mengekalkan hak mengundi majoriti kerajaan dan status Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan negara.
GSV menjangkakan ia akan mempunyai tunai mencukupi bagi membantu Malaysia Airlines beroperasi dengan selesa sehingga 18 bulan.
Ia berhasrat menjadikan semula Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan premium jarak jauh dengan memperluaskan rangkaian penerbangannya dan meningkatkan penggunaan 81 pesawatnya.
Ia turut merancang mengekalkan unit perniagaan lain seperti syarikat penerbangan tambang rendah, perkhidmatan kargo serta unit penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.
“(Ia) masih usaha niaga berdaya maju, ia mempunyai kekuatan. Kami berjanji tidak akan memberhentikan 13,000 pekerja barisan depan dan tidak akan menjual aset syarikat penerbangan itu,” kata Timbalan Ketua Eksekutifnya, Ravindran Devagunam.
Syarikat itu menyasarkan untuk mencapai keuntungan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan dalam 3 tahun pengambilalihan dengan sasaran keuntungan RM15 bilion pada 2025.
Mereka berkata, ia bercadang untuk penyenaraian “atau satu siri IPO (tawaran awam permulaan)” dalam tempoh 3 hingga 5 tahun.
Ravindran berkata, syarikat itu bergantung kepada permintaan perjalanan selepas koronavirus berjaya dikawal.
“Tidak kira berapa lama (virus itu) akan merebak tahun ini, kami meramalkan peningkatan kecil dalam perniagaan mulai musim panas 2021.”

No comments: