Mahathir arkitek utama pembentukan kerajaan pintu belakang?

Mahathir arkitek utama pembentukan kerajaan pintu belakang?



Tidak pelik apabila muncul segelintir golongan asatizah dan politikus berimej Islam yang bersungguh-sungguh mempertahankan kerajaan pintu belakang Muhyiddin-Azmin dengan cuba memberi justifikasi bersandarkan hujah agama.
Mungkin itu satu petanda rasa bersalah yang cuba ditutup dengan helaian daun kering. Mereka mahu menempekkan “wajah Islamik” agar proses kudeta yang jelek itu dapat disucikan bagi mewangikan apa yang digembar-gemburkan sebagai kerajaan Melayu-Muslim.
Pengkhianatan dan pembelotan terhadap mandat rakyat dalam PRU14 cuba dirasionalkan dengan hujah-hujah songsang dan dilakar naratif berimiginasi liar memburuk-burukkan seteru politik. Kebencian terhadap “musuh semulajadi” Anwar Ibrahim dan Parti Amanah Negara (AMANAH) terserlah dan tidak dapat disembunyikan lagi.
Komplot jahat “kerajaan tebuk atap” bukan hanya berpusat perbalahan proses peralihan kuasa perdana menteri atau kontroversi tohmahan Putrajaya dikuasai DAP. Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju sebulat suara pada malam 21 Februari 2020 menyerahkan sepenuhnya kepada Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan tarikh spesifik beliau berundur.
Ia adalah proses rampasan kuasa atau kudeta yang dirancang lama, bagi menafikan kehendak rakyat dalam PRU14. Ia juga bercanggah dengan amalan demokrasi apabila teraju pemerintahan dirompak pada pertengahan penggal, mengeksploitasi sepenuhnya peluang terbuka.
Kenapa tidak boleh ditunggu sehingga PRU15 bagi mengatur taktik baharu? Ya, kembalikan kepada mandat rakyat semula jika tidak mahu lagi kekal dengan persefahaman asal Pakatan Harapan.
Dr Mahathir mendedahkan sendiri jawapan Muhyiddin Yassin mengapa komplot yang membabitkan Umno secara en bloc itu perlu dijayakan segera. Umno tidak mungkin boleh bersetuju sekiranya ia hanya dapat dilakukan hujung iahun ini, selepas Dr Mahathir berundur, kerana dijangkakan proses perbicaraan mahkamah kes-kes korupsi berprofil tinggi sudah selesai.
Dan harus ditekankan juga, jangan hanya dilihat polemik ini bermula dengan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada tengah hari Isnin itu. Beliau terpaksa bertindak nekad selepas hilang sokongan majoriti ekoran pengkhianatan rakan-rakan dalam partinya sendiri apabila Bersatu keluar daripada PH.
Usaha mengumpulkan sokongan untuk menumbangkan kerajaan tanpa Anwar-DAP-AMANAH bermula lebih awal. Bertambah aktif selepas kekalahan besar PH dalam PRK Tanjung Piai. Digerakkan pemimpin tertentu PKR, juga dengan restu tokoh Bersatu. Ia disambut baik pemimpin Umno yang menanti peluang untuk kembali berkuasa, termasuk kumpulan terbabit dalam jenayah korupsi.
Melalui rancangan awal, komplot ini mahu merangkaikan sekali Dr Mahathir tetapi gagal disebabkan Pengerusi Bersatu itu menolak pembentukan kerajaan bersama gerombolan kleptokrat. Dr Mahathir tidak sanggup mengkhianati amanah rakyat yang secara berani menolak regim Najib-BN dalam PRU14 lalu.
Benar, ada pandangan mengatakan proses menumbangkan kerajaan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan, sementara perdana menteri baru diisytihar oleh Agong menurut peraturan yang lazim dipakai, namun ia jelas bertentangan dengan amalan dan semangat demokrasi, apa lagi nilai-nilai dan adab moral yang murni. Umpama ayam yang dicuri tetapi minta imam sembelih menurut syarak.
Agong bertindak berdasarkan “apa yang terbentang di atas meja baginda”. Justeru, kita terlebih dahulu perlu menelusuri momen-momen penting yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH itu. Pas dan Umno mungkin boleh berlepas tangan daripada tuduhan pengkhianat-pembelot tetapi apakah kedua-dua parti itu terhindar dalam komplot jahat rompakan mandat rakyat?
Banyak kalangan yang menyokong kerajaan Muhyiddin-Azmin mendakwa keruntuhan PH berpunca daripada peletakan jawatan Dr Mahathir sendiri. Umno-Pas hanya mengambil peluang apabila tiada lagi kerajaan terbentuk. Seluruh bangunan rumah sudah runtuh, jadi tidak timbul “masuk rumah melalui pintu belakang atau tebuk atap”.
Seperti ditegaskan, kronologi pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat ini bukan bermula selepas Dr Mahathir letak jawatan. Beliau terpaksa melakukannya apabila hilang sokongan majoriti selepas Bersatu keluar PH tanpa persetujuannya. Dr Mahathir cuba mempertahankan partinya untuk kekal dalam gabungan PH sambil menepis serangan liar terhadap Kabinet, dalam mesyuarat panas lima jam itu. Malang sekali pendirian Dr Mahathir ditolak, pimpinan parti berkeras dan mendesak beliau memungkiri janjinya terhadap rakyat.
Dr Mahathir amat kecewa sekali. Parti yang dibidani kelahirannya, bersusah-payah membesarkannya, mengetepikan kehendak beliau; tambah pedih apabila dua individu rapat yang dipercayainya, Muhyiddin dan Azmin sanggup pula mengkhianatinya. Lagi sekali terbukti, Dr Mahathir terkhilaf menilai kesetiaan orang kanan beliau. Malah setiausaha politiknya sendiri menepuk meja membantah keras pendirian untuk bersama PH. Lebih tragis, ahli-ahli mesyuarat lebih cenderung kepada pandangan tersebut.
Mungkin Dr Mahathir salah strategi dan gagal membaca situasi politik. Ataupun beliau terlalu terikut-ikut dengan emosi kerana begitu sedih dan terpukul dengan sikap rakan-rakan yang dipercayainya. Namun beliau ternyata masih berpegang kukuh dengan prinsipnya untuk tidak bersekongkol dengan para koruptur yang menjarah khazanah negara. Dalam masa sama, Dr Mahathir terheret dengan kesangsiannya kepada sekutu lain dalam PH, iaitu PKR, DAP dan AMANAH yang dianggap lebih setia terhadap Anwar. Dr Mahathir seperti keseorangan dalam keriuhan suasana politik ketika itu. Babak pilu di kala menghampiri penghujung kerjaya politiknya.
Ibarat Dr Mahathir terlupa mengunci kemas rumah sehingga menyebabkan pencuri agak mudah mengambil kesempatan. Soalnya, apakah aksi penjenayah yang mencuri barangan bukan hak mereka itu bukan suatu kesalahan hanya kerana pintu tidak dikunci rapat? Sedangkan sudah lama kumpulan maling ini menyusun taktik, sentiasa mengintai dan menunggu peluang terbaik untuk mencuri termasuk mendapat kerjasama daripada penghuni rumah tersebut.
Timbul perdebatan sekitar persoalan apakah masih perlu Dr Mahathir memimpin PH atau lebih baik sahaja memperkukuh posisi Anwar untuk menggerakkan kempen PRU15? Rasanya Dr Mahathir sendiri tidak terfikir sejauh itu; agenda belum selesai hanya berkaitan cadangan usul tidak percaya kepada perdana menteri dalam sidang Parlimen terdekat, selain mempastikan Bersatu berada di landasan yang betul.
PH perlu memantapkan kedudukan dan pengaruh dalam lanskap politik, terutama dalam kalangan khalayak Melayu-Bumiputera. Prestasinya sebagai pembangkang akan diperhatikan, walaupun rekodnya semasa 22 bulan memerintah tidak boleh dipadam. Naratif buruk yang dipersepsikan seteru politik PH mungkin sedikit lentur jika rakyat dapat membandingkannya secara adil dengan pentadbiran kerajaan semasa. Sama ada Dr Mahathir perlu kembali proaktif mengemudi PH bergantung kepada banyak pertimbangan, namun yang penting negarawan ulung itu tidak dimusuhi, malah terus didampingi.
Dalam politik selain perlu menjalin hubungan dengan banyak pihak dan mendapat sokongan khalayak ramai, lebih penting meminimumkan seteru apatah lagi musuh yang berdendam.

No comments: