Kerajaan akan perkenal SOP baru ikut zon Khamis ini


MKN akan membentangkan SOP baru PKP berdasarkan zon-zon tertentu.
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baru Khamis ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP itu akan digunakan selepas tarikh PKP fasa ke-2 tamat pada 14 April ini.
Peraturan baru itu, katanya, berkemungkinan akan dipecahkan mengikut zon positif Covid-19 bagi memberi kelonggaran kepada rakyat untuk bergerak bagi memastikan wabak itu tidak menular.
“Saya tengok ada berita menunjukkan orang potong rambut pakai alat pemotong rumput dan sebagainya kerana kedai gunting tidak buka, jadi seperti saya pernah sebut, pihak MKN pada Khamis ini akan membentangkan SOP baru berdasarkan zon-zon tertentu.
“Selain zon merah misalnya, zon hijau adalah kawasan yang 0 positif Covid-19, kita sedang meneliti apakah SOP yang akan diperkenalkan, mungkin ada sedikit kelonggaraan, saya kata mungkin, saya tak kata telah diputuskan.
“Contoh kalau kawasan itu 0 postif Covid-19 mungkin ada sedikit kelongaran mereka akan diberi, bagaimanapun SOP akan diperkenal mungkin kawasan zon hijau tidak boleh keluar kawasan tersebut dan orang lain tak boleh masuk kerana bimbang kawasan hijau menjadi zon merah dan di zon merah mungkin SOP lebih ketat akan dilaksanakan.
Ismail berkata, SOP baru itu bukan sahaja membabitkan kilang, kedai gunting rambut dan sebagainya, ia juga melibatkan pusat lain yang ada keperluan untuk dibuka.
“Jadi perkara itu sedang diperhalusi untuk SOP baru dikeluarkan yang lagi jelas, bagi menghadapi selepas 14 hari ini selesai sama ada PKP ditamatkan atau disambung, walaupun ditamatkan akan ada SOP tertentu selepas PKP.
“Kita tidak mahu berlaku seperti negara luar, mereka buka kawasan tiba-tiba ada lagi kes positif menyebabkan mereka tutup kembali seperti berlaku di Hong Kong, Singapura dan terkini Jepun, saya difahamkan akan mengumumkan kawasan kecemasan selama 6 bulan di kawasan tertentu.
“Kita cuba nak bantu rakyat yang lama duduk di rumah, pada masa sama kita nak kaji kesan kalau kita terlalu longgar, kita tidak mahu apa kita buat selama sebulan akhirnya kita terpaksa undur balik (laksana PKP semula) dengan lebih ketat,” katanya.