Petani sumbang sayur, Sim Tze Tzin ucap penghargaan
Bekas Timbalan Menteri Pertanian Sim Tze Tzin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands yang mengambil inisiatif mengutip sayur-sayuran lebihan untuk disalurkan kepada pertubuhan amal.
Menurut Sim, pertubuhan itu juga menanggung kos lori, pembungkuran dan memberi secara percuma kepada pihak yang memerlukan.
“Penerima pertama adalah Hospital Besar Ipoh. Mereka menerima 3,000kg sayur-sayuran semalam. Usaha ini adalah dipimpin oleh Dr Lee Boon Chye, bekas Timbalan Menteri Kesihatan melalui pasukan “Agents of Shield” yang ditubuhkan oleh beliau untuk membantu Medical Frontliners.
“Parlimen #BayanBaru akan menerima 500kg sayur-sayuran hari esok untuk diedarkan kepada Rumah Warga Emas, Rumah Anak Yatim, Rumah OKU dan Hospital di Penang.
“Beberapa pertubuhan di Perak, Pahang, Selangor dan Penang juga akan mendapat sayur-sayuran. Permintaan banyak. Pertubuhan NGO itu menerima banyak panggilan telefon dalam 2-3 hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sim yang juga ahli parlimen Bayan Baru berkata, sikap seperti itu wajar dipuji dalam waktu semua pihak mengalami kesempitan, lebih-lebih lagi para petani yang tidak dapat memasarkan hasil tuaian mereka dengan baik akibat perintah kawalan pergerakan
“Saya terharu. Walaupun petani sedang mengalami kerugian besar kerana MCO #COVID19, mereka masih sanggup top up duit, bantu doctor, nurse di Hospital, golongan kurang bernasib baik di seluruh negara. Semangat #KitaJagaKita sangat terserlah. Ini menunjukkan semangat kekitaan dan kasih sayang rakyat Malaysia.
“Saya nak pertahankan petani sedikit. Tiada petani yang sanggup membuang hasil titik peluh jika tidak terdesak. Orang yang kritik petani kurang sensitif kepada petani yg bekerja di bawah matahari, penat lelah kerja tanah.
“Dalam saat krisis negara, kita perlu lebih kasih sayang, kita perlu lebih faham memahami. Terima kasih saya ucapkan kepada para petani,” katanya lagi.