MGF28032020_PROSES-DISINFEKSI-SERI-PETALING_30
Petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL semasa Operasi Pembersihan Disinfeksi Kawasan Sri Petaling pada hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL 28 MAC 2020
KUALA LUMPUR – Operasi pembersihan atau nyah cemar bagi membendung wabak Covid-19 akan dilaksanakan Isnin ini di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi serta bangunan yang sering dikunjungi orang ramai.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi tersebut.
Turut terlibat, katanya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negara.
“Sejak 23 Mac lalu hingga semalam, 11 proses penyahcemar dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan 11 pasar dan masih diteruskan iaitu di kawasan Seri Petaling.
“Tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi dulu dan ke kawasan lain termasuk rumah ke rumah di perumahan PPR,” katanya dalam sidang media harian hari ini.
Menurut beliau, opersai itu akan dilaksanakan secara serentak untuk memastikan keberkesanan usaha tersebut yang juga akan dilakukan di jabatan-jabatan kerajaan.
‘Ia termasuk pembersihan di dua kawasan di Kluang dan Simpang Renggam yang melalui proses Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan,” katanya.