Kabinet Muhyiddin gagal, hanya pantas pecat lantikan politik
ULASAN: Apabila Muhyidin mengumumkan senarai anggota kabinetnya yang begitu ramai pada 9 Mac 2020, jelas dia masih kabur apa yang bakal dihadapinya.
Kabinet itu pasti diputuskan tanpa membuat unjuran kedudukan kewangan kerajaan akibat wabak Covid-19.
Kabinet yang ‘oversized’ itu bukan refleksi yang betul untuk negara dalam keadaan sekarang.
Para pemerhati politik menyifatkan ianya tidak lebih sebagai ‘kabinet gula-gula politik’ untuk membeli kesetiaan. Hampir kesemua MP yang melompat diberi jawatan tanpa mengira merit.
Makanya, boleh disimpulkan bahawa Muhyidin lebih mementingkan survival politiknya berbanding keperluan sebenar negara. Ini kegagalan pertama dan ianya sangat merosakkan reputasi kerajaan pimpinan Muhyidin.
Cekap pecat orang?
Selepas sahaja mengangkat sumpah, boleh dikatakan tidak ada apa yang dilakukan oleh menteri-menterinya yang begitu ramai.
Malah ramai menteri yang terus hilang dari radar. Para netizen mula mempersoalkan samada para menteri ini makan gaji buta. Ada menteri yang masih tidak punya pejabat.
Walaupun begitu, mereka cukup cekap dan pantas memecat pegawai-pegawai lantikan politik. Mereka lebih pantas memecat berbanding bekerja.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pada 17 Mac 2020 adalah keputusan yang boleh dianggap ‘no brainer decision’.
PKP kelam kabut
Tidak ada apa pun yang cemerlang untuk dibanggakan. Malah hari pertama perintah dikuatkuasakan, keadaan jadi kelam kabut.
Banyak pengarahan yang tidak jelas sehingga menyebabkan keadaan panik dan berlaku kesesakan di stesen bas, balai polis, dan lebuhraya.
Dalam suasana menghadapi bencana, para menteri dan pemimpin PN masih ada yang gagal mengambil tanggungjawab penuh malah cuba menyalahkan kerajaan terdahulu. Ini sangat tidak professional.
Hari ini PKP berlangsung dengan menggunakan sumber dalaman kerajaan yang sedia ada, iaitu sumber yang disediakan oleh kerajaan terdahulu samada dari sudut kewangan, bekalan makanan, kepakaran, dan peralatan. Sumber-sumber ini akan mula terhakis dan mengurang.
Kesusahan mega Aidilfitri
Kesan penuh PKP ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat baru diperingkat permulaan. Kemuncaknya akan dirasakan mungkin sebulan atau dua bulan dari sekarang dan akan berpanjangan mungkin sehingga akhir tahun.
Rakyat akan berada di puncak kesusahan menjelang hari raya idulfitri nanti.
Baru seminggu PKP dikuatkuasakan, sudah ada tanda-tanda gangguan terhadap ‘supply chain’ bekalan sayuran dan ikan. Banyak sayuran dan ikan yang terpaksa dibuang kerana tidak dapat dihantar kepada pusat jualan atau pelanggan. Kalau ini tidak diselesaikan segera, ada kebimbangan keadaan akan menjadi lebih sukar untuk rakyat.
Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan akan berlaku penguncupan KDNK yang sangat besar sehingga menyebabkan kehilangan lebih 2 juta pekerjaan dan kehilangan pendapat keluarga sehingga RM95 bilion.
Bagi yang memahami suasana ekonomi dan kewangan negara, umum pun tahu keadaan ini bakal meletakkan kerajaan Muhyidin dalam dilema yang sangat besar.
Muhyidin juga akan menghadapi masalah ‘deficit of trust’ yang besar di kalangan rakyat kerana cara beliau mengambil kerajaan melalui pintu belakang tanpa mandat rakyat yang jelas.
Ini tidak akan membantu beliau untuk mengambil tindakan yang bermakna kerana beliau sendiri perlu tunduk kepada ‘stake holder’ politik terbesar dalam kerajaan hari ini iaitu Umno yang secara jelas telah ditolak oleh rakyat dalam PRU14 yang lalu.
Muhyidin tak lulus ujian?
Kepada penyokong kerajaan Muhyidin, jangan terlalu awal bersorak. Sebenarnya anda baru berada dalam awal separuh masa pertama permainan dan pemain yang paling sibuk dalam pasukan anda sekarang adalah penjaga gol itu sendiri.
Anda juga jangan lupa, ramai pemain dalam pasukan anda sekarang suka jaringkan gol sendiri.
Semoga Allah selamatkan rakyat Malaysia dari bencana Covid-19 ini dan meringankan bebanannya buat kita semua.
______________________________________________________________________________
Artikel ini dipetik dari Malaysia Dateline