Pelancongan paling terjejas, mungkin buang pekerja
Sektor pelancongan seolah-olah terlupa untuk diberi ransangan dalam pakej yang diumum oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.
Pakej langsung tidak memberi inisiatif khusus dan sektor itu tidak menolak kemungkinan terpaksa membuang pekerja tidak lama lagi kerana tidak mampu menanggung beban rugi akibat Covid-19.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) berkata industri yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara itu paling awal terjejas akibat penularan Covid-19 namun tidak mendapat perlindungan daripada kerajaan.
Presidennya Mohd Khalid Harun berkata adalah tidak wajar apabila kerajaan hanya menawarkan kemudahan pinjaman kerana sektor pelancongan memerlukan sekurang-kurangnya perancangan 12 bulan ke hadapan untuk bangkit selepas wabak ini.
“Dengan tempoh panjang yang diperlukan oleh industri pelancongan untuk bangkit semula – dan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang perlahan paska
Covid-19, adalah tidak wajar untuk kami menambahkan pinjaman dari industri perbankan seperti yang ditawarkan dalam (pakej itu),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, selepas membatalkan Tahun Melawat Malaysia 2020, kerajaan sepatutnya boleh menyalurkan dana RM100 juta yang dijimatkan daripada peruntukan kempen iklannya untuk membantu pemain industri pelancongan.
Katanya, suntikan dana itu boleh membantu mereka terus hidup untuk sekurang-kurangnya 6 bulan lagi.
“Tanpa bantuan segera dari pihak kerajaan, kami sangat berkeyakinan antara 40% – 60% syarikat dalam industri pelancongan akan gulung tikar,” katanya.
Jika itu berlaku, hampir sejuta orang akan hilang kerja, tambahnya.
Dalam pada itu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta) juga merasakan pakej rangsangan yang diumumkan semalam tidak memenuhi keperluan usahawan kecil pelancongan, terutamanya soal nasib pekerja.
“Apa akan jadi selepas pemberian kerajaan selesai pada Mei apabila pekerja mendapati mereka sudah tiada kerja kerana majikan mereka terpaksa gulung tikar?” tanya Presidennya, Tan Kok Liang.
Menurut Tan, industri pelancongan yang menyumbang 15.2% kepada keluaran dalam negara kasar menyaksikan pendapatannya merudum sehingga 90% pada bulan ini, dan dijangka rugi sepenuhnya dalam tiga bulan akan datang.
“Banyak pihak dalam industri tempatan tidak yakin ekonomi negara boleh melonjak balik dengan berdaya saing selepas krisis ini. Banyak yang sedang menimbang untuk menyerah kalah,” katanya.
Industri pelancongan adalah yang pertama sekali dan paling teruk terkesan disebabkan wabak Covid-19, ketika ia menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.5 juta rakyat Malaysia.
Sejak wabak Covid-19 merebak di China dan kemudian ke serata dunia, hotel dan rumah inap menanggung kos operasi yang tinggi sementara agensi pelancongan pula hilang tempahan kerana orang ramai takut melancong.
Kelmarin, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) mendedahkan agensi umrah menanggung kerugian tidak kurang RM300 juta sejak pemerintah Arab Saudi menggantung pengeluaran visa umrah dan pelancongan serta menutup kota suci Mekah.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion, termasuk inisiatif kepada majikan untuk tidak membuang pekerja.