PH Sarawak tetap sokong Anwar sebagai Perdana Menteri - Chong*




KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyatakan sokongan penuh kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kelapan (PM-8).

Perkara itu ditegaskan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen yang memberitahu ia adalah agenda dan hala tuju yang telah dipersetujui semua pimpinan PH.

"Kita telah berjanji bahawa Datuk Seri (Anwar Ibrahim) akan menjadi PM-8 dan itu adalah agenda kita dan merupakan persetujuan kita serta hala tuju yang harus kita capai.

"Sebab itu, kita jemput beliau datang pada hari ini pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) untuk menunjukkan sokongan kepada beliau dan berpegang kepada janji kita sebelum ini," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran di sini hari ini.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menganggap Anwar sebagai 'sifu'.

"Kita telah lebih 20 tahun bersama Datuk Seri dan kita telah bersusah payah bersama-sama memperjuangkan reformasi untuk mengubah Malaysia," tambah pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli parti PH di negeri ini untuk terus bersatu dan memberi tumpuan kepada agenda utama yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Stampin itu memberitahu, meskipun banyak keluhan dan rintahan tentang kepimpinan PH dalam mentadbir kerajaan di negara ini, namun pelbagai pencapaian telah dicapai antaranya memerangi rasuah.

Jelas Chong, sepanjang tempoh 18 bulan mentadbir negara ini, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa menunjukkan peningkatkan iaitu dari tangga ke-61 kepada ke-51 daripada lebih 180 negara.

Tegas beliau, ia adalah perkembangan positif kerajaan Malaysia di bawah pimpinan PH yang mungkin tidak diketahui umum yang membuktikan kerajaan PH sebuah kerajaan yang telus dan serius dalam memerangi rasuah di negara ini.

"Jadi negara kita sedang menuju landasan yang tepat walaupun banyak keluhan dan rintihan, sudah tentu inilah kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan.

"Semua ini harus kita tepikan dan tetapkan dalam minda kita ke arah hala tuju yang tepat," ujarnya.


https://www.utusanborneo.com.my/2020/02/01/ph-sarawak-tetap-sokong-anwar-sebagai-perdana-menteri-chong


No comments: