PH buktikan janji PRU 14 kurang kadar tol
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan mampu mengotakan janji manifesto pilihan raya umum ke 14 mengurangkan kadar tol.
Meskipun pembangkang membuat berita palsu konnonnya manifesto menyebut penghapusan tol namun BN wajar mencermin muka mereka sendiri kerana ketika pemerintahan parti itu kadar tol tidak pernah kurang sebaliknya dinaikkan dalam 3 tahun sekali.
Oleh itu, pengurangan kadar tol sebanyak 18% di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bermula tengah malam tadi tentunya menggembirakan rakyat.
Langkah itu menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah usaha berterusan untuk menghapuskan sepenuhnya tol PLUS dalam 30 tahun akan datang. Pada era BN walaupun perjanjian konsesi PLUS tamat sebelum 2020 sebelum ini namun kerajaan membenarkan projek pembesaran lebuh raya itu dan menambah tempoh kepada 2038.
Dijangkakan pada era PH, tidak lagi dibenarkan usaha penambahan tarikh kutipan tol dengan pelbagai alasan.
Selain itu, Guan Eng juga menegaskan kerajaan mungkin mempercepatkan pemansuhan sepenuhnya tol bergantung kepada keadaan kewangan pada masa hadapan
“Kalau kita lihat apa yang kita sebut bahawa ini adalah langkah secara berperingkat untuk matlamat akhirnya. Itu ialah yang dinyatakan dalam janji manifesto PH. Tapi ini tentu akan makan masa kerana kita kena tunggu ekonomi pulih,” katanya dipetik
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan DAP Pulau Pinang.
Janji keenam dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18% akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Terdahulu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan dalam ucapannya berkata kerajaan akan melancarkan program rangsangan ekonomi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan yang berterusan.
“Kita akan berusaha lebih untuk tarik pelaburan. Semalam saya pengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Negara bersama dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan saya nak beritahu RM1.3 bilion pelaburan adalah ke Pulau Pinang.
“Ini menunjukkan sememangnya pelaburan masih datang dan masuk ke Malaysia dan juga ke luar negeri. Hari ini kita terus jalankan usaha untuk mengurangkan kos sara hidup dengan pengurangan tol di Lebuhraya PLUS.
“Kita akan buat program-program lain dan pada masa yang sama kita pastikan pelaburan boleh masuk dengan cepat. Ini kita yakin dapat memastikan kehidupan rakyat dalam pembangunan ekonomi boleh terus dikekalkan,” katanya.