KENYATAAN MEDIA MENGENAI PPSMI



KENYATAAN MEDIA
1 FEBRUARI 2020

REFORMASI PENDIDIKAN: PPSMI ADALAH DASAR LAPUK WARISAN KERAJAAN BARISAN NASIONAL

Cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memangku tugas Menteri Pendidikan agar pembelajaran sains dan matematik diajar di dalam Bahasa Inggeris merupakan langkah ke belakang. Gesaan itu juga merupakan idea lapuk peninggalan kerajaan lama yang telah ditolak oleh mana-mana pakar bahasa, sama ada bahasa asing mahupun bahasa ibunda.

Sangat penting agar seluruh Jemaah Menteri menolak gesaan Pemangku Menteri Pendidikan ini di dalam mesyuarat kabinet, dengan tidak membiarkan ia datang daripada seorang yang pada masa sama merupakan Perdana Menteri. Bahkan, gesaan ini sama sekali tidak termasuk di dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Jemaah Menteri sangat bertanggungjawab untuk menggesa agar perkara utama dalam usaha Reformasi dilakukan dan bukan kembali kepada dasar lama kerajaan lama. Antara kajian segera yang perlu dilakukan dan mencapai persetujuan bersama adalah seperti pengukuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sekolah kebangsaan satu aliran yang perlu mengajar Bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda – seperti bahasa Cina, bahasa Tamil dan lain-lain – yang perlu kepada rakyat Malaysia.

Kerajaan juga wajar mengambil ketetapan bahawa semua dasar utama perlulah melalui perbincangan menerusi mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan untuk wacana umum. Cara ini akan memastikan pentadbiran dan komunikasi kerajaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

Perlawanan kepada dasar bahasa Inggeris untuk pembelajaran sains dan matematik yang pernah disaksikan di era kerajaan Barisan Nasional adalah beban yang tidak perlu kepada kerajaan Pakatan Harapan di era Malaysia baharu.

MOHD NAJWAN HALIMI
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Negeri Selangor

No comments: