PENYELARAS PARLIMEN BERA DILANTIK DARI ORANG YANG ADA KES RASUAH?



Satu lagi 'keajaiban' di dalam kerajaan PH yang amat bertentangan dengan semangat reformasi, salah satunya adalah mereformkan semua institusi dan pentadbiran dari sebarang amalan rasuah.  

Kerajaan yang baik bukan sahaja perlu bersih, tetapi mesti dilihat bersih.  Bagaimana seseorang yang telah dipecat dari parti kerana terdapat laporan dari SPRM bahawa beliau terlibat dengan unsur rasuah, tiba-tiba dilantik menjadi Penyelaras Parlimen di Bera?  Difahamkan, Sdr Zakaria Abdul Hamid, bekas Ketua Cabang Bera telah dilantik untuk menjadi Penyelaras Parlimen Bera.  

Meskipun beliau telah mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan parti Keadilan, namun selagi rayuannya tidak diputuskan, beliau tetap di dalam status 'bersalah' dan 'tidak berparti'.  Bagaimana orang yang didapati oleh parti bersalah berdasarkan siasatan dan laporan oleh SPRM, dan telah dipecat dari parti, boleh diangkat untuk menjadi Penyelaras Parlimen Bera?  Setiap Penyelaras Parlimen bakal mendapat peruntukan jutaan ringgit, adakah orang seperti ini ingin dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya? 

Saya difahamkan, Pakatan Harapan Negeri Pahang tidak pernah mencalonkan orang yang tidak berparti ini untuk menjadi Penyelaras Parlimen.  Pakatan Harapan Negeri Pahang telah melantik YB Senator Bob Manolan sebagai Penyelaras Parlimen Bera, memandangkan Sdr Zakaria Abdul Hamid telah dipecat dari parti. 

Difahamkan, Pengerusi MTENg YB Saifuddin Abdullah (MP Indera Mahkota) telah memilih orang yang tidak berparti ini untuk menjadi Penyelaras Parlimen Bera.  Adakah kerana mereka 'satu kepala', maka perlantikan dibuat walaupun perbuatan itu amat memalukan?  Bagaimana mahu berdepan dengan rakyat jika kita melantik orang yang dilaporkan oleh SPRM terlibat di dalam rasuah, dilantik untuk menjaga peruntukan parlimen? 

YB Saifuddin Abdullah tidak harus membawa budaya umno ke dalam PH.  Keadilan patut kecewa dan menyesal menempatkan beliau sehingga ke tahap ini kerana beliau langsung tiada roh reformasi di dalam dirinya.

Saya berharap PH Pahang harus memperbetulkan perkara ini.  Jangan izinkan sesiapa sahaja yang tercemar memegang jawatan penting di dalam PH.  

WFAUZDIN NS

No comments: