Dalam politik, cukup bilangan kerusi belum tentu semua masalah selesai. Negeri Sembilan sekarang berdepan satu persoalan yang agak luar biasa. Majoriti kerajaan masih ada, tetapi barisan pentadbiran baharu belum terbentuk.
BN-PN menguasai 25 daripada 36 kerusi DUN. Sepatutnya angka sebesar itu memberi ruang yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergantung kepada pembangkang.
Masalah mula menjadi rumit apabila 10 bekas Exco bersama bekas Menteri Besar terpalit dengan pertikaian melibatkan kedudukan Tuanku Muhriz. Walaupun pendirian terdahulu sudah ditarik balik, penyelesaian menyeluruh masih menjadi tanda tanya.
Sekarang bayangkan satu keadaan. Bagaimana kalau sebahagian besar daripada 11 ADUN berkenaan tidak mendapat perkenan untuk kembali memegang jawatan dalam pentadbiran negeri?
Memang belum ada pengesahan mereka disenarai hitam oleh istana. Tetapi kemungkinan kesukaran mendapatkan perkenan bagi calon tertentu tetap menjadi persoalan yang wajar diteliti.
BN-PN masih mempunyai ADUN lain untuk dipertimbangkan. Namun persoalannya, mampukah mereka menyusun barisan Menteri Besar dan Exco yang mendapat sokongan politik, memenuhi keperluan pentadbiran serta memperoleh perkenan yang diperlukan?
Kalau usaha itu menemui jalan buntu, pilihan politik mungkin semakin sempit. Ketika itulah kerjasama merentasi gabungan boleh muncul sebagai salah satu penyelesaian, bukan kerana mana-mana pihak meminta untuk menyertai kerajaan, tetapi kerana keadaan memerlukan persetujuan lebih luas.
PH mempunyai 11 ADUN. Sama ada mereka akan terlibat dalam sebarang rundingan belum diketahui. Malah belum ada asas untuk mengatakan kerajaan perpaduan pasti akan dibentuk.
Dalam politik, pihak yang mempunyai majoriti pun kadangkala perlu berkompromi apabila berdepan kebuntuan pentadbiran. Tetapi kompromi itu perlu lahir daripada persetujuan parti-parti terlibat dan menghormati kedudukan institusi diraja.
Jadi, adakah BN-PN mampu menyelesaikan kemelut menggunakan kekuatan sendiri? Atau jika semua jalan yang tersedia gagal, adakah kerajaan perpaduan akhirnya menjadi pilihan yang perlu dipertimbangkan? Buat masa ini, persoalan itu masih terbuka.
#AhmadMursi #NegeriSembilan #DUNNegeriSembilan

No comments:
Post a Comment