SECANGKIR KOPI SEKEPING HATI: TULUS MENYUSUR KECUNDANGAN YANG TAK BERHENTI







Sebelum ini, dalam reaksi segera saya terhadap kekalahan Pakatan Harapan, khususnya Parti Keadilan Rakyat di PRN Melaka, saya sempat mengungkap kata-kata Sun Tzu yang menyimpulkan kekalahan berturut-turut satu pihak dalam peperangan adalah kerana kejahilan pihak tersebut dengan dirinya sendiri (baca: partinya) dan kejahilan dengan pihak musuh (baca: parti lawan).


Dalam kaedah analisis moden, ungkapan Sun Tzu ini mirip kepada Analisis SWOT, sebabnya SW (strength & weakness) menyelongkar hal dalaman (diri sendiri, parti sendiri), sementara OT (opportunity & threat) menyelongkar hal luaran (termasuk diri musuh, parti lawan). Yang dikatakan kejahilan itu bermaksud kejahilan mentakrif kekuatan kesan dari mainan sentimen pihak lawan (luaran) dan kejahilan dalam memahami bahawa pihak kita perlu bangkit "melawan naratif" dan menjadikan "lawan naratif" itu sebagai naratif baru yang mampu membina sentimen. Saya berani kata, kita takut untuk bermain dengan api yang sama, secara berlawanan.


Saya ambil contoh Dato' Azman Bidin di Paya Rumput. Tentulah Dato' Azman pernah turun ke situ sebelum pilihanraya, sudah pernah berprogram di situ, sudah pernah membantu rakyat di situ. Mustahil orang Paya Rumput tidak tahu yang Dato' Azman adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri. Dan mustahil juga orang Paya Rumput tidak sedar bahawa dengan memilih pemimpin seperti Dato' Azman akan banyak manfaat bakal melimpah di situ. Pengundi tahu, pengundi melihat, tetapi kesudahannya tetap tidak dipilih, tetap kalah dengan majoriti yang agak signifikan. Kenapa? Kerana rakyat tidak mengundi berdasarkan itu, ceramah cerita tentang prestasi (Kerajaan Madani) tidak menusuk hati, sentimen lebih membakar naluri. Berhadapan dengan rakyat yang penuh dengan perasaan sentimental, kepandaian membina sentimen adalah "baju besi" dalam perang politik ini.


Steven Erikson dalam "Deadhouse Gates (Malazan Book of the Fallen, #2)" menulis, "Kita melangkah untuk menyongsong maut. Dan pada saat-saat inilah — sebelum mata pedang dihunus, sebelum darah membasahi bumi dan jeritan memenuhi udara — kesia-siaan itu menyelubungi kita semua. Tanpa zirah yang membaluti tubuh, nescaya kita semua akan menangis."


Zirah itu baju besi, "armor," yang sepatutnya sentiasa ada dalam perang, sebagai pertahanan yang ampuh, yang memungkinkan kemenangan, tanpanya perlawanan adalah sia-sia. Dalam konteks perang politik, zirah itu adalah kepandaian kita dalam membangkit dan membina sentimen, membentuknya menjadi cerita bersifat naratif. Dalam hal melawan persekutuan BN dan PN, kita perlu berani masuk dalam gelanggang sentimen mereka, menjadilan "lawan sentimen" itu sebagai sentimen kita. Kalau mereka bercakap soal DAP Komunis mengapa kita jadi teragak-agak bercakap perkara yang sama di hadapan orang Melayu melawan sentimen itu dengan tegas mengatakan DAP bukan komunis? Saya ada hujah sejarahnya.


Kita mungkin tidak jahil dengan mainan sentimen mereka (luaran) dan kita juga mungkin tidak jahil dengan keperluan kita sendiri mencipta dan membina sentimen (dalaman), tetapi kita boleh jadi jahil dengan sentimen asal, sentimen perjuangan, sentimen reformasi yang pada satu ketika pernah membina momentum kebangkitan rakyat dari tahun 1999 - 2008 - 2013 - 2018 - 2022. Ramai pimpinan muda dalam parti hari ini masuk parti kerana parti ini parti arus perdana, dari menguasai negeri hingga menjadi kerajaan persekutuan. Mereka masuk seratus peratus kerana politik. Jadi bila pimpinan generasi baru ini dibawa ke depan khalayak, diminta bercakap tentang perjuangan, tentang reformasi, ia gagal menerbitkan percikan sentimen seperti dahulu, percikan sentimen yang mampu mencipta gelombang kebangkitan rakyat, sebabnya kerana sentimen itu sendiri tiada dalam jiwa mereka, mereka hanyalah orang politik. Kalau sudah tiada di jiwa mereka, bagaimana mungkin percakapan mereka mampu menusuk hati rakyat.


Apa pun, saya bersetuju dengan saranan bahawa struktur penerangan dan komunikasi kita sama ada dalam Keadilan, Pakatan Harapan mahu pun dalam Kerajaan mesti dirombak secara drastik, itupun kalau kita masih mahu bermimpi tentang kemenangan.


Hirupan kopi terakhir sebelum tidur,


Zukri Aksah 

Setiausaha Negeri Keadilan Pahang 

Timbalan Ketua Keadilan Cabang Indera Mahkota 


#PRNMelaka #MelakaRumahKita #reformasi28tahun #keadilan27tahun #neoreformia #MalaysiaMadani #MADANIBekerja #AnwarIbrahim #pmx

Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail MyMadani Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia






No comments: