‘Derhakakah patik berkata benar?’, Hassan dipanggil polis isu sajak “Patik Tak Rela”

 


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dipanggil ke Bukit Aman hari ini susulan sajak kontroversinya bertajuk “Patik Tak Rela”.

Veteran PKR yang terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan prinsip keadilan itu memaklumkan bahawa beliau akan disiasat berhubung sajak yang dimuat naik menerusi Facebook pada 14 November lalu.

Menurut Hassan, beliau diminta hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 3 petang ini

“Saya akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya, lapor Malaysiakini.

Menerusi sajak berkenaan, Hassan menggunakan ungkapan “Ampun Tuanku” sebelum mengemukakan persoalan tentang keadilan yang sepatutnya tidak membezakan seseorang berdasarkan kedudukan atau darjat.

“Ampun Tuanku, derhakakah patik berkata benar? Tuhan menyeru bersikap adil sesama insan; tegakkan hukum di bumi Allah yang tak mengenal darjat dan kelas,” antara bait sajak tersebut.

Hassan turut mempersoalkan sama ada tindakan berdiam diri ketika menyaksikan sesuatu yang dianggap tidak adil boleh membawa maksud seseorang itu merelakan ketidakadilan berkenaan.

“Ampun Tuanku, derhakakah patik menyanggah, ketidakadilan di depan mata? Bersikap diam diri, ertinya rela bersubahat,” tulisnya lagi.

Harga tinggi

Malah, Hassan sudah menjangkakan kemungkinan perlu berdepan akibat daripada pendiriannya apabila menyatakan kesediaan menanggung sebarang harga kerana menyuarakan pandangan tersebut.

“Ampun Tuanku, jika patik berbicara begini, terpaksa membayar dengan harga yang tinggi, maka silakan, patik tidak lari,” katanya menerusi sajak itu.

Beliau mengakhiri sajak berkenaan dengan ungkapan tegas, “Patik tak rela, negara ini jatuh ke longkang sehina begini,” yang menggambarkan kekecewaannya terhadap keadaan yang dipersoalkan.

Walaupun sajak itu tidak menyebut nama Najib secara langsung, kandungannya dipercayai merujuk perkembangan berkaitan keputusan tahanan rumah bekas Presiden Umno berkenaan yang terus mencetuskan perbahasan mengenai keadilan dan layanan sama rata di sisi undang-undang.

Pada 11 November lalu, Najib dilaporkan mula menjalani tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur selepas Mahkamah Tinggi membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di kediaman tersebut sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi.





No comments: