
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan pertemuan dua hala di Istana Elysee, Paris pada 4 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 16 Nov – Presiden Perancis, Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari bermula hari ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan lawatan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan tersebut pada bulan Mei 2017 dan sebagai lawatan balas Perdana Menteri ke Perancis pada Julai 2025.
“Macron akan diiringi oleh isteri beliau Brigitte Macron serta Menteri-Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

“Beliau dan isteri akan tiba di Kuala Lumpur pada hari ini dan akan disambut oleh Perdana Menteri serta isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Wisma Putra berkata, pada 17 November pula, Macron akan diberikan Istiadat Sambutan Rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur diikuti dengan mesyuarat dua hala Malaysia-Perancis yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua pemimpin.
“Mesyuarat dua hala tersebut akan menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan Malaysia-Perancis ke tahap perkongsian strategik yang mencerminkan keutuhan serta kepentingan strategik hubungan yang telah lama terjalin.

“Perkongsian strategik ini akan menjadi kerangka bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan.
“Ia turut melibatkan bidang mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan dan pendidikan, dengan matlamat untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran global yang mendesak serta meneroka peluang memperkukuh kerjasama dan sokongan bersama dalam kalangan negara yang sehaluan.

“Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang-bidang kerjasama strategik, termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
“Perdana Menteri juga akan menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Macron, isteri dan delegasi,” jelasnya.
Pada tahun 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Perancis mencatatkan nilai RM17.78 bilion.

Jumlah eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion dengan produk elektrik dan elektronik menjadi eksport utama.
Import dari Perancis pula berjumlah RM11.73 bilion yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis merupakan rakan dagang Malaysia ke-21 terbesar di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara-negara Eropah.
No comments:
Post a Comment