Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan ditegur Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) selepas membacakan pantun berunsur sindiran yang mengajak menyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika menjawab pertanyaan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, RSN Rayer yang bangkit membantah tindakan tersebut mengingatkan Ahmad supaya tidak memalukan dirinya sendiri kerana beliau sedang memberikan jawapan sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Kejadian bermula ketika Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjawab celahan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung isu penghapusan tol serta janji politik yang didakwanya masih belum ditunaikan.
Ahmad kemudian menyebut bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang pernah membuat pengiraan mengenai kos penghapusan tol sebelum menyampaikan pantun berikut:
“Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan,
Jika tak mahu kena kencing,
Sokong Barisan dan Perikatan.”
Pantun sinis itu segera mengundang bantahan Rayer yang mempersoalkan sama ada Ahmad sedang memberikan jawapan sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan atau sebagai pemimpin Umno.
“Adakah Timbalan Menteri memberi jawapan sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan atau sebagai pemimpin Umno di sini?” soalnya.
Menyindir rakan
Rayer turut menegaskan bahawa Ahmad sepatutnya menghormati kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan yang turut dianggotai PH, bukannya menggunakan sesi jawapan kementerian untuk menyindir rakan dalam kerajaan sendiri.
“Jawab sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan. Jangan malukan diri sendiri!” tegasnya.
Beliau kemudian merujuk Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang melarang penggunaan bahasa kurang sopan dalam persidangan Parlimen.
“Adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli Dewan menggunakan bahasa yang kurang sopan,” katanya ketika membangkitkan bantahan terhadap penggunaan perkataan ‘kencing’.
Rayer turut mengingatkan bahawa Ahmad sedang menjalankan tanggungjawab rasmi sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dan bukannya berucap dalam program politik kepartian.
“Tadi kita dengar Timbalan Menteri membuat sindiran terhadap ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan. Kita dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau turut meminta Ahmad menarik balik perkataan berkenaan dan memohon maaf kepada Ahli Parlimen PH yang menjadi sasaran sindiran tersebut.
Susulan teguran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor, Ahmad akhirnya menarik balik penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantunnya, namun menegaskan bahawa beliau tidak menyebut nama PH.
Untuk rekod, pantun hampir sama pernah digunakan Ahmad ketika Perhimpunan Agung Pemuda Umno pada Disember 2019, tetapi ketika itu rangkap terakhir secara jelas menyeru supaya tidak menyokong PH.
Pada tahun berkenaan, Ahmad menggunakan pantun tersebut ketika Umno dan Pas berada dalam kerjasama politik pembangkang, sebelum landskap politik berubah apabila BN dan PH bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

No comments:
Post a Comment