Akmal Saleh Berang KLSCAH Cuma Perlu Bayar RM1,000...Banding Nasib Penghuni Susah PPR






Oleh Mynewshub


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyertai gelombang kritikan terhadap keputusan kerajaan menurunkan premium pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada kira-kira RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.


Menerusi hantaran video di media sosial hari ini, Akmal membandingkan diskaun berjuta ringgit itu dengan nasib penghuni Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara yang berdepan tindakan pengosongan rumah kerana gagal menjelaskan sewa.


"Nak jaga warisan boleh bagi diskaun premium tanah berjuta ringgit, pada masa yang sama, rakyat tak bayar sewa PPR kena ambil tindakan.


"Mana satu yang lebih utama? Jaga warisan atau kebajikan rakyat? Menteri tolong jawab," katanya.


Beliau turut mempersoalkan sama ada jumlah tunggakan sewa penghuni berkenaan benar-benar melebihi nilai premium asal KLSCAH sebanyak RM4.67 juta.


Menurut Akmal, jumlah yang dilepaskan itu lebih wajar digunakan untuk meringankan beban penghuni rumah awam dan PPR di Kuala Lumpur, termasuk memberi sewa percuma selama sebulan hingga tiga bulan kepada mereka.


"Ini soal kebajikan mereka," tegasnya.


Untuk rekod, DBKL sebelum ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 602 unit PA dan PPR di ibu negara dari Januari hingga akhir September lalu atas pelbagai pelanggaran syarat, dengan 323 unit berjaya dikosongkan.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hari ini menjelaskan premium RM1,000 ditetapkan kerana status tanah KLSCAH ditukar daripada komersial kepada institusi, sekali gus tidak lagi boleh dibangunkan untuk tujuan komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah.


Menurut beliau, bangunan yang diwartakan sebagai warisan sejak 2007 itu dikendalikan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, dan pengurusannya memohon pengurangan premium ketika baki pajakan tinggal lapan tahun.


Kenyataan Akmal itu menambah senarai suara yang mendesak kerajaan memperincikan asas keputusan berkenaan, selepas Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi tampil membangkitkan persoalan sama. - MYNEWSHUB


### Komentar Mynewshub: 


Teguran Dr Akmal Saleh wajar dipuji kerana berani mengangkat persoalan kebajikan rakyat berpendapatan rendah ketika kerajaan memberikan pengurangan premium tanah yang begitu besar kepada sebuah institusi.


Walaupun pemeliharaan bangunan warisan mempunyai kepentingannya, nasib penghuni PA dan PPR yang bergelut dengan kos sara hidup tidak seharusnya dipandang ringan.


Akmal membangkitkan persoalan yang cukup relevan: Jika kerajaan mampu memberikan kelonggaran berjuta ringgit demi memelihara warisan, mengapa pendekatan lebih prihatin tidak boleh dipertimbangkan untuk membantu rakyat miskin?


Kerajaan wajar menjelaskan asas pengurangan premium tersebut secara telus, di samping memastikan pertimbangan terhadap kebajikan golongan susah diberikan keutamaan yang sewajarnya. – MYNEWSHUB





No comments: