Kemelut peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan makin panas apabila anak kepada Datuk Ismail Lasim tampil bersuara.
Tangkap layar coretan yang dikaitkan dengan anak Ismail iaitu Naim Ismail, kini berlegar di media sosial.
Dalam coretan itu, dia mempersoalkan siapa sebenarnya yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan.
Dia juga mendakwa segala arahan parti selama ini dipatuhi, tapi akhirnya berlaku usaha untuk menjatuhkan orang sendiri iaitu bapanya.
“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan (Ismail) sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?
“Dari awal segala arahan parti dipatuhi. Apa sahaja keputusan parti semuanya ikut. Tetapi akhirnya macam ni jadi. Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri.
“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam. Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ni,” tulisnya di IG Story.
Coretan itu tular di tengah-tengah desas-desus bahawa peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar dibuat atas tekanan dan arahan parti.
Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini tampil menafikan dakwaan bahawa parti itu mengarahkan Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan susulan kemelut politik yang melanda negeri berkenaan.
Zahid mendakwa keputusan itu dibuat atas kehendak Ismail sendiri, bukannya atas arahan Umno
“Tidak timbul soal itu, kerana peletakan jawatan itu dibuat oleh Ismail sendiri,” katanya seperti dilapor media hari ini.
Menurut Zahid, Ismail tidak memberikan alasan khusus berhubung keputusan melepaskan jawatan berkenaan.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhadap calon Menteri Besar baharu yang dikemukakan BN.
Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan turut menegaskan peletakan jawatan MB hanya berkuat kuasa selepas diperkenan Tuanku, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

No comments:
Post a Comment