𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
12 November 2026
𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗣𝗔𝗦 𝗨𝗠𝗡𝗢
Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Ahli Parlimen Jasin, YB Zulkifli Ismail membidas kenyataan saya yang mengingatkan rakyat dan ahli PAS bahawa kerjasama PAS dengan UMNO sebelum ini tidak pernah melebihi tiga tahun.
Beliau pernah terkenal kerana membaca doa Qunut Nazilah mendoakan kejatuhan pimpinan Kerajaan Perpaduan, yang turut melibatkan pimpinan UMNO yang menjadi sebahagian dari Kerajaan Perpaduan.
Walaupun beliau membidas kenyataan saya, PAS tidak boleh menafikan bahawa fakta sejarah itu adalah tepat.
Memang kerjasama PAS dengan UMNO sebelum ini tidak pernah kekal melebihi tiga tahun, sebelum ia kembali kepada pergaduhan yang memisahkan orang Melayu.
UMNO menuduh PAS memecah belah perpaduan Melayu, sementara PAS menuduh UMNO tidak mengamalkan Islam. Keadaan ini mewarnai dinamik politik di antara UMNO dan PAS untuk sebahagian majoriti tempoh 70 tahun yang lepas.
Semasa penubuhan Kerajaan Perpaduan, PAS menjadikan isu kepimpinan Dato’ Seri Zahid Hamidi yang berhadapan dengan 47 pertuduhan kes rasuah sebagai sebab utama pengundi Melayu perlu menolak UMNO.
Kritikan PAS terhadap peribadi Dato’ Seri Zahid Hamidi dan pertuduhan 47 kes itu adalah lebih kencang berbanding kritikan PAS terhadap sabitan kesalahan penyelewengan kes 1MDB dan Dato’ Seri Najib Razak.
Oleh itu, menjelang hari mengundi Pilihan Raya Melaka ini, saya menyeru YB Zulkifli Ismail (yang pernah membaca doa Qunut Nazilah ini) menyatakan secara terbuka mengenai pendirian yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang sebelum ini mengenai 47 pertuduhan kes rasuah terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi; seperti berikut:
Dewan Rakyat, 13 September 2023:
“𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐚𝐝𝐚 𝐃𝐍𝐀𝐀 𝐢𝐧𝐢.”
“𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐦𝐞𝐥𝐞𝐭𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐮𝐝𝐮𝐡 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡, 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐦𝐞𝐬𝐭𝐢 𝐝𝐢𝐛𝐢𝐜𝐚𝐫𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢 𝐡𝐚𝐛𝐢𝐬-𝐡𝐚𝐛𝐢𝐬.”
Dewan Rakyat, 24 Oktober 2023:
“𝐊𝐚𝐥𝐚𝐮 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐤𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐥𝐚𝐡, 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐚𝐥𝐮 𝐝𝐞𝐤𝐚𝐭, 𝐦𝐚𝐜𝐚𝐦-𝐦𝐚𝐜𝐚𝐦. 𝐃𝐍𝐀𝐀, 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐡 𝐤𝐞𝐧𝐚 𝐡𝐮𝐤𝐮𝐦𝐚𝐧, 𝐝𝐢𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐤𝐚𝐧, 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐛𝐚𝐬𝐤𝐚𝐧. 𝐌𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧 𝐃𝐍𝐀 𝐝𝐢𝐚 𝐬𝐚𝐦𝐚...”
YB Zulkifli Ismail menyatakan bahawa PAS bekerja keras untuk memastikan kerjasama dengan UMNO kali ini kekal selama-lamanya, tidak seperti sebelum ini yang tidak kekal melebihi tiga tahun.
Kenyataan itu bermakna PAS menarik balik kritikan-kritikan terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi dan pertuduhan 47 kes sebelum ini, yang sering dijadikan alasan sebagai penghalang kepada kerjasama UMNO dan PAS.
Menjelang hari mengundi di Melaka, adalah wajar PAS menyatakan secara terbuka sebab musabab yang mendorong mereka mengubah pendirian mengenai pertuduhan 47 kes itu.
Bagi pihak 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜

No comments:
Post a Comment