1. Najib mohon juga untuk tinggal di pavilion tetapi telah di tolak. Lebih baik mohon tinggal di US rumah menantu.
2. Isteri-isteri. Hmmm. Terpaksalah kosongkan rumah ikut jadual dari yang tak berkenaan.
3. Tidak boleh guna telefon. Tak disebut menggunakan PC dan internet.
4. Rasanya solat jumaat di penjara Kajang setiap minggu.
5. Saya jangka Najib akan berkempen menggunakan perantaraan anak dia.
6. Tukang masak, maid, gardener, tukang masat tak disebut.
******
Nampaknya Najib Razak tidak akan tinggal bersendirian di kediamannya di Jalan Langgak Duta seperti yang didakwa sesetengah pihak dalam Umno sejak akhir-akhir ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu taklimat di Dewan Rakyat hari ini menyatakan "isteri-isteri", anak-anak, pasangan kepada anak-anak terbabit, serta cucu-cucu bekas Presiden Umno itu dibenarkan tinggal bersamanya.
Malah dimaklumkan bahawa mereka boleh berbuat demikian tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Jabatan Penjara Malaysia.
Peraturan mendapatkan kebenaran tersebut hanya terpakai kepada individu lain yang berhajat untuk tinggal di rumah berkenaan, serta pelawat.
Dalam taklimat hari ini, Saifuddin turut menjelaskan penggunaan telefon dan peranti komunikasi lain mungkin dihadkan kepada peranti yang telah didaftarkan dengan Jabatan Penjara Malaysia.
Katanya peranti berkenaan hanya boleh digunakan untuk tujuan pelaporan berkala kepada pegawai tahanan rumah yang telah dilantik.
"(Terkait) Sekatan penggunaan telefon - (ia) tak dibenarkan menggunakan telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan, oleh Jabatan Penjara (iaitu) untuk tujuan mengesahkan bila (Najib) berada di rumah, (untuk) dihubungi oleh pihak penjara (bagi mengesahkan) beliau berada di kediaman berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, memandangkan ahli keluarga turut tinggal bersama, beberapa peguam sebelum ini memberitahu Malaysiakini, adalah mustahil untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada menggunakan peranti telefon milik ahli keluarganya.
Selain isu akses kepada peranti, Saifuddin menegaskan Najib dilarang sama sekali daripada mencetuskan atau melibatkan diri dalam liputan media mahupun muncul di media sosial.
Kembali ke jel jika langgar peraturan
Dia juga tidak dibenarkan menganjurkan sebarang acara, mengeluarkan kenyataan media, atau terlibat dalam aktiviti politik.
Namun, tidak jelas sama ada larangan berkenaan turut merangkumi mesej yang disampaikan melalui pihak lain — seperti yang dilakukan oleh anak perempuannya, Nooryana Najwa, semasa kempen PRN Melaka semalam.
Semasa berkempen, Nooryana Najwa dipetik seagai berkata, Najib sentiasa mengharapkan kemenangan BN dan dia merupakan seorang yang sangat mementingkan parti.
"Beliau tahu pengorbanan dalam politik dan sentiasa menasihati saya serta abang-abang supaya turun padang membantu rakyat.
"Tiada pesanan khusus, tetapi beliau mahu menyampaikan kepada rakyat Melaka bahawa BN adalah parti terbaik untuk menjamin masa depan golongan muda," katanya dipetik BH Online.
Najib juga tidak dibenarkan meninggalkan kediaman tersebut – melibatkan bangunan dan kawasan seluas hampir 50,000 kaki persegi – tanpa kebenaran. Sebaliknya dia wajib berada di rumah tersebut.
Bagi tujuan menunaikan solat Jumaat pula, kata Saifuddin, ahli politik berusia 73 tahun itu akan dibawa oleh Jabatan Penjara Malaysia namun lokasinya tidak dinyatakan.
Sebelum ini, semasa perbicaraan kes 1MDB berlangsung, Najib dibawa dari mahkamah di Putrajaya kembali ke Penjara Kajang untuk menunaikan solat Jumaat.
Saifuddin menyatakan sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat yang dikenakan ke atas Najib akan menyebabkan dia dihantar semula ke penjara.
Sementara itu, dalam taklimat sama, Saifuddin turut mendedahkan Najib ada membuat permohonan mendapatkan lokasi kediaman kedua sebagai tempat tahanan rumah. Bagaimanapun, tambah Saifuddin, permohonan tersebut telah ditolak.
Tiga syif kawalan ditetapkan
Najib akhirnya kembali menjejakkan kakinya di rumah tersebut pada malam Selasa lalu, empat hari selepas Umno melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan ke atasnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Dia sepatutnya akan akan menjalani tahanan di rumah sehingga Ogos 2028.
Bagaimanapun selepas itu ada kemungkinan Najib perlu kembali ditahan bagi menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas dia didapati bersalah atas 25 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes 1MDB.
Kes tersebut sedang dalam proses rayuan di mahkamah.
Menteri itu menambah tiga pegawai penjara akan ditempatkan di kediaman Najib melibatkan tiga orang bagi setiap syif. Secara keseluruhan, tambahnya, ada tiga syif ditetapkan bagi mengawal kediaman tersebut.
Katanya polis turut dikerahkan untuk menjalankan pengawasan – sama ada secara statik mahupun melalui kehadiran yang menyeluruh di kawasan tersebut.
“Ini hanyalah aturan penugasan. Sebelum ini, mereka ditempatkan di Penjara Kajang, tetapi kini mereka ditempatkan di sana (kediaman Najib). Jadi, tiada kos tambahan,” katanya.
Saifuddin turut mengesahkan pembayaran pencen Najib telah dihentikan selaras dengan peraturan melibatkan seseorang yang didapati bersalah oleh mahkamah.
Pada masa sama Najib masih menerima manfaat-manfaat lain di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pekeliling kementerian, serta Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Seksyen 21 akta tersebut memperuntukkan pemberian keistimewaan tertentu kepada bekas perdana menteri, sebagaimana yang ditentukan oleh kabinet namun ia tidak menyatakan secara khusus bentuk manfaat yang perlu diberikan.
Pada 2021, Najib telah memohon sebidang tanah dan sebuah rumah – dilaporkan bernilai RM100 juta — melalui peruntukan manfaat kepada bekas perdana menteri.
Permohonan tersebut bagaimanapun ditarik balik oleh Najib.

No comments:
Post a Comment