Melaka Rumah Kita: Pakatan Harapan Akan Batal Jawatan ADUN Lantikan, Jimatkan Wang Rakyat

 

97d77196-767c-4d38-97c6-3ee15b25de9b

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bersama Khoo Poay Tiong ketika sidang media harian PH di BGU Melaka pada 12 November 2026.

MELAKA, 12 Nov – Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan kerajaan negeri Melaka di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan dibatalkan Pakatan Harapan (PH) bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan disalurkan kembali kepada rakyat.

Pembatalan tersebut akan dilaksanakan sekiranya PH diberi mandat mentadbir negeri itu selepas keputusan PRN Melaka ke-16 dengan peruntukan tersebut melibatkan kira-kira RM1 juta setahun.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata penjimatan perbelanjaan daripada pembatalan enakmen itu, akan dikembalikan kepada rakyat menerusi bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta pembangunan usahawan muda di negeri itu.

Pakatan Harapan (PH) akan membatalkan enakmen pelantikan tujuh ADUN lantikan yang dibuat Barisan Nasional (BN) jika menang PRN Melaka ke-16. Foto Khoo Poay Tiong

Pendekatan tersebut jelasnya, merupakan antara tawaran PH menerusi ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’, yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat berbanding mengutamakan poket pemimpin yang bukan dipilih oleh rakyat.

“Kita tahu bahawa di Melaka ada tujuh ADUN lantikan (dalam Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka) telah diluluskan peringkat Dewan Undangan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan sekiranya rakyat Melaka memberi mandat kepada PH, maka kita akan membatalkan tujuh ADUN lantikan itu,” katanya.

Perkembangan tersebut dimaklumkan kepada pihak media semasa sidang media harian di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di Bukit Baru di sini hari ini.

Selain itu, Adly berkata PH turut berhasrat membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara bagi mengadakan sesi Hari Bertemu Rakyat secara berkala, sekiranya kembali mentadbir negeri itu.

Beliau berkata inisiatif yang telah dilaksanakan ketika PH mentadbir Melaka pada 2018, bertujuan memudahkan rakyat bertemu secara langsung dengan pemimpin tertinggi kerajaan negeri, bagi mengemukakan masalah dan mendapatkan penyelesaian terhadap isu yang mereka dihadapi.

“Hari Bertemu Rakyat pernah dilaksanakan PH ketika mentadbir Melaka pada setiap Jumaat dan sebahagian besar daripada isu yang diadukan rakyat, boleh diselesaikan dengan pertemuan antara rakyat dan juga pemimpin tertinggi kerajaan negeri,” katanya.



No comments: