
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 12 November 2026.
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Terdapat empat syarat utama perlu dipenuhi sebelum bekas perdana Menteri, Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan dalam rumah (house detention).
Antaranya termasuk tempat tinggal dibenarkan hanya di alamat kediaman Najib di Langgak Duta sahaja termasuk kawalan pergerakan dan kebenaran melawat terhad yang mendapat kebenaran bertulis daripada Jabatan Penjara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Presiden UMNO itu juga dikenakan sekatan penggunaan telefon dan alat komunikasi, selain perlu menghadiri program pemulihan dan intervensi secara berkala sehingga tempoh tahanan tamat pada 23 Ogos 2028.
Beliau berkata, semua syarat berkenaan ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas ahli parlimen Pekan itu bermula dari tarikh beliau dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya.
Selain itu, katanya, Jabatan Penjara diberikan kebenaran mengadakan syarat bertujuan menyediakan kawalan dan seliaan, arahan dan tatacara yang sudahpun dimaklumkan kepada Najib sebelum dipindahkan ke kediamannya.

“Najib juga dimaklumkan yang beliau tidak boleh berpindah ke rumah, bangunan atau premis lain. Beliau juga tidak dibenarkan keluar dari alamat ditetapkan, melainkan dengan izin bertulis.
“Bagi tujuan solat, solat Jumaat misalnya, kita akan bawa (ke masjid atau surau), selain beliau tidak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“Lembaga Pengampunan juga sebut sesiapa yang dibenarkan tinggal, itu orang boleh tinggal. Selain daripada itu, kena ada kebenaran bertulis.

“Tidak dibenarkan menerima tetamu, melainkan dengan izin bertulis,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai syarat khusus dikenakan ke atas Najib bagi menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah sehingga Ogos 2028 dan agensi bertanggungjawab memantau pematuhan syarat itu.
No comments:
Post a Comment