
BN perlu memahami bahawa penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan datang bersama tanggungjawab untuk menghormati persefahaman yang telah dipersetujui.
PENDAPAT, 12 Nov – Sikap Barisan Nasional (BN) yang dilihat semakin lunak menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN), sedangkan pada masa sama terus menyerang Pakatan Harapan (PH) yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan, menimbulkan persoalan serius mengenai komitmen dan keikhlasan BN terhadap perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan.
Suka diingatkan, Kerajaan Perpaduan dibentuk berasaskan semangat kerjasama, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memastikan kestabilan politik serta kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan. Ia bukan platform untuk mana-mana parti menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi kepentingan politik sendiri sambil membina hubungan dengan pihak lawan.
BN perlu memahami bahawa penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan datang bersama tanggungjawab untuk menghormati persefahaman yang telah dipersetujui. Tidak wajar BN menikmati kestabilan dan manfaat kerjasama kerajaan, tetapi pada masa sama mengambil pendekatan politik yang melemahkan rakan gabungan sendiri.

Persoalannya, apakah pendirian sebenar BN? Adakah BN benar-benar komited mempertahankan Kerajaan Perpaduan atau sekadar menjadikan kerjasama ini sebagai strategi sementara untuk kelangsungan politik?
Lebih membimbangkan, tindakan menyerang PH secara terbuka hanya memberikan ruang kepada PN mengambil kesempatan memperkukuhkan naratif politik mereka. Keadaan ini akhirnya boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keputusan kolektif kerajaan termasuk mesyuarat Jemaah Menteri saban minggu.
BN harus memilih antara politik kepartian yang sempit dengan tanggungjawab mempertahankan kestabilan negara, bukannya menangguk di air keruh demi melampiaskan nafsu berkuasa namun khianat kepada perjanjian sendiri.

Kami menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan memerlukan kejujuran, disiplin dan kesetiaan terhadap persefahaman bersama. Sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan melalui saluran rundingan, bukannya melalui serangan politik terbuka.
Jangan sampai rakyat melihat BN mahu berada dalam kerajaan untuk menikmati kuasa, tetapi pada masa sama berpolitik seolah-olah berada di blok pembangkang.
Kestabilan kerajaan ialah amanah rakyat, bukannya alat tawar-menawar politik.
Parti Keadilan Rakyat
Cabang Titiwangsa
No comments:
Post a Comment