Rasuah di Malaysia: Daripada jenayah berat kepada model perniagaan politik?

 


Apakah hukuman terhadap pesalah rasuah masih mampu memberi pengajaran apabila denda berjuta-juta ringgit boleh dibayar melalui kutipan derma penyokong politik, sementara individu yang disabitkan bersalah terus diraikan sebagai tokoh perjuangan?

Persoalan ini kembali menjadi perhatian susulan perkembangan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, apabila RM50 juta dikumpulkan melalui dana solidariti Umno bagi membayar denda yang dikenakan terhadap beliau dalam kes SRC International.

Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International. Sabitan tersebut dikekalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, melalui proses pengampunan, hukuman penjara 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Pengurangan itu sah melalui mekanisme Perlembagaan, tetapi tidak memadamkan sabitan jenayah terhadap beliau.

Perkembangan terbaharu berhubung pelaksanaan baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 turut mencetuskan perbahasan mengenai layanan terhadap pesalah berprofil tinggi berbanding banduan biasa.

Lebih membimbangkan, denda jenayah yang sepatutnya memberi kesan kewangan kepada pesalah akhirnya boleh ditanggung oleh penyokong politik.

Bagi rakyat biasa, denda beberapa ribu ringgit sekalipun mungkin memerlukan pengorbanan besar, tetapi bagi tokoh berpengaruh, jutaan ringgit boleh dikumpulkan melalui kempen solidariti.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada hukuman kewangan masih berkesan sebagai pencegahan apabila individu yang disabitkan bersalah tidak semestinya menanggung sendiri beban tersebut.

Di China, hukuman mati boleh dikenakan bagi kes rasuah tertentu yang sangat serius. Malaysia tidak perlu mencontohi pendekatan sedemikian, tetapi perlu memastikan hukuman terhadap rasuah benar-benar membawa pengajaran tanpa mengira kedudukan seseorang.

Wira politik

Hukuman jenayah bukan sekadar bertujuan menghukum pesalah, tetapi memberi mesej bahawa penyalahgunaan amanah awam membawa akibat serius.

Namun, mesej itu berisiko menjadi kabur apabila individu yang disabitkan bersalah terus diraikan sebagai wira politik.

Walaupun penyokong berhak memberikan sumbangan secara sukarela, masyarakat juga berhak mempersoalkan sama ada budaya mengumpul dana bagi membayar denda jenayah melemahkan tujuan asal hukuman yang dijatuhkan mahkamah.

Malaysia boleh memperkenalkan pelbagai dasar antirasuah dan memperkukuh institusi penguatkuasaan, tetapi usaha tersebut sukar mencapai matlamat jika budaya politik terus mengangkat kesetiaan kepada pemimpin mengatasi prinsip integriti dan pertanggungjawaban.

Akhirnya, rasuah mungkin kekal sebagai jenayah berat di sisi undang-undang, tetapi apabila denda boleh ditanggung penyokong dan pesalah terus diraikan, jangan sampai hukuman jenayah berubah menjadi sekadar kos menjalankan perniagaan politik.




No comments: