PMQT: Laksana Pembaharuan Fiskal Berjaya Kawal Hutang Negara – PM Anwar

 


IMG_0943

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 12 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pelaksanaan pembaharuan fiskal oleh kerajaan berjaya mengawal penompokan hutang negara selaras Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act – FRA).

Ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, defisit fiskal Malaysia mencatat penurunan setiap tahun sejak 2021 iaitu daripada 6.4 peratus kepada 3.7 peratus pada 2025.

Katanya, unjuran kadar defisit pada 2026 ialah 3.6 peratus, manakala pada Belanjawan 2027, ia diunjur menurun kepada 3.3 peratus, manakala sasaran FRA untuk 2028 ialah tiga peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 12 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

“Defisit fisikal yang menurun bermakna pinjaman baharu berkurang. Pinjaman baharu pada 2025 berkurangan menjadi RM75.6 bilion berbanding RM76.8 bilion (2024).

“Keperluan pinjaman bersih bagi 2026 dijangka sekitar komitmen hutang tahun lalu, meskipun kerajaan menanggung tekanan subsidi yang lebih tinggi akibat konflik di Asia Barat.

“Nisbah hutang Persekutuan kepada saiz ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga pada landasan menurun iaitu 65.2 peratus pada 2025 dengan unjuran 64 peratus pada 2026,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 12 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

Anwar menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh-Timor) mengenai mengapa kerajaan masih belum berjaya mengurangkan hutang negara ke paras yang lebih mampan.

Chuan How juga bertanyakan sejauh mana kedudukan fiskal semasa memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan langkah intervensi bagi melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selagi belanjawan negara dalam defisit dan dibiayai melalui pinjaman, bermakna jumlah hutang akan terus bertambah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 5 Ogos 2025. Foto Bernama

“Hutang bersifat terkumpul. Pinjaman bersih tahun semasa menambah baki hutang tahun terdahulu yang belum dilunaskan.

“Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran dengan jumlah hutang yang sudah sedia menggunung melepasi RM1 trilion.

“Peningkatan mendadak hutang pada 2020 hingga 2022 diperlukan akibat pandemik COVID-19 bagi membiayai perkhidmatan kesihatan, bantuan rakyat dan pakej rangsangan ekonomi.

“Pinjaman baharu di bawah MADANI adalah untuk membiayai pembangunan negara, termasuk sekolah, hospital, jalan raya serta bekalan air dan elektrik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan terpaksa memenuhi tanggungan kewangan yang diwarisi dan pada 2023 sahaja, RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, pengurusan kewangan tidak hanya tertumpu kepada memperkukuh kedudukan fiskal yang lebih mampan, tetapi turut memastikan dasar fiskal terus mengembang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Katanya, penyasaran subsidi turut melindungi rakyat daripada turun naik harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.

“Menjelang genap empat tahun pentadbiran MADANI, petunjuk ekonomi terus menunjukkan asas memberangsangkan yang menjadi benteng untuk negara lebih berdaya tahan.

“Anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), KDNK suku ketiga berkembang 5.3 peratus.

“Pengangguran 2.9 peratus setakat September ini dan inflasi terkawal serta dijangka kekal di bawah dua peratus tahun ini,” katanya.





No comments: