Kebebasan menjalani baki hukuman di kediaman sendiri bukan bermakna bekas Perdana Menteri, Najib Razak, terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa apabila kerajaan menetapkan beliau boleh dihantar semula serta-merta ke penjara sekiranya melanggar mana-mana syarat tahanan rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketetapan itu sudah dinyatakan dengan jelas dalam perintah pengampunan bersyarat Najib, termasuk tatacara dan tindakan yang akan dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran.
“Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan, langgar segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kerajaan sudah mengambil kira kemungkinan berlakunya pelanggaran syarat dan menetapkan tindakan tegas supaya pelaksanaan tahanan rumah itu tidak disalahgunakan.
Beliau menjelaskan, syarat yang ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi empat kategori utama iaitu sekatan berkaitan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan lawatan, penggunaan telefon serta peranti telekomunikasi.
Selain itu, Najib turut diwajibkan menyertai program pemulihan dan intervensi sepanjang menjalani baki hukuman berkenaan.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kemudahan tahanan rumah Najib boleh dibatalkan sekiranya beliau melanggar syarat ditetapkan.
Ramkarpal turut membangkitkan kemungkinan Najib menggunakan platform dalam talian untuk mengadakan ceramah menerusi Zoom, menghadiri mesyuarat maya atau mengemukakan permintaan tertentu sepanjang tempoh tahanan rumah.
Untuk rekod, Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah pada 10 November lalu. Hukuman itu dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Tiada kos tambahan kawalan keselamatan?
Dalam perkembangan sama, Saifuddin menegaskan kerajaan tidak menanggung kos tambahan bagi kawalan keselamatan Najib di kediamannya kerana penugasan anggota penjara dan polis hanya disusun semula.
Katanya, anggota penjara yang sebelum ini ditugaskan di Penjara Kajang kini ditempatkan di kediaman Najib, manakala kawalan polis diteruskan menggunakan penugasan sedia ada.
Beliau menjelaskan, kawalan di kediaman bekas presiden Umno itu melibatkan tiga anggota penjara bagi setiap syif, dengan tiga syif sehari, selain pemantauan polis secara statik dan berterusan.
“Jadi kita cuma atur tugas sahaja. Kalau dulu dia bertugas di Kajang, sekarang dia bertugas di situ. Jadi tidak ada kos tambahan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan wujud layanan dua darjat terhadap Najib berbanding banduan lain.
Penjelasan itu sekali gus memperincikan pendekatan kerajaan dalam menguruskan pelaksanaan tahanan rumah Najib, termasuk aspek pemantauan, kawalan keselamatan dan tindakan sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi.

No comments:
Post a Comment