Dr Dzul rakam kepada pakar HKL selepas tangan anggota polis berjaya disambung semula

 


Kejayaan pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambung semula tangan kanan seorang anggota polis yang putus akibat ditetak dalam serangan bersenjata di Desa Amanpuri, Kepong, menjadi perhatian selepas prosedur mikrosurgeri kompleks itu mengambil masa kira-kira lapan jam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembedahan terhadap Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy itu berjaya disempurnakan hasil kerjasama pasukan pakar bedah, doktor, jururawat serta petugas kesihatan HKL.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain atas kejayaan melaksanakan prosedur yang memerlukan ketelitian tinggi menggunakan mikroskop pembedahan.

Menurut Dzulkefly, kejayaan itu turut memperlihatkan keupayaan pasukan perubatan pelbagai disiplin di fasiliti kesihatan awam negara dalam mengendalikan kes kecemasan yang kompleks.

Selain pasukan mikrosurgeri, pasukan Neurosurgeri HKL turut bekerjasama memberikan rawatan terhadap kecederaan yang dialami anggota polis berkenaan di bahagian kepala.

“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di media sosial.

Thierry, 26, merupakan anggota Cawangan Kereta Peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang cedera ketika menjalankan tugas dalam satu operasi di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong pada 11 November.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang dilaporkan menyerang anggota polis, bomba dan petugas kesihatan yang berada di hadapan kediaman berkenaan. Serangan tersebut menyebabkan pergelangan tangan kanan Thierry putus, selain mengalami kecederaan pada kepala dan badan. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar sebelum ini berkata anggota berkenaan pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan menyambung semula tangannya.

Mengulas perkembangan rawatan itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memastikan Thierry terus menerima rawatan rapi dan menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar anggota polis itu diberikan kesembuhan, manakala keluarganya dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.

“Seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam,” katanya.

Kejayaan pembedahan itu turut menjadi penghargaan kepada petugas kesihatan yang mengendalikan kes berkenaan, selain memperlihatkan peranan kepakaran mikrosurgeri dalam usaha menyelamatkan anggota badan pesakit yang mengalami kecederaan serius.



No comments: