Masalah bekalan air di Terengganu menjadi perhatian sejak semalam apabila penduduk di beberapa kawasan mendakwa terpaksa berdepan air keruh, berbau dan tekanan air rendah.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kualiti perkhidmatan bekalan air di negeri itu.
Berdasarkan perkongsian Facebook Greater Terengganu Development, laman berkenaan mendedahkan aduan mengenai air keruh dan berbau yang dilaporkan dialami penduduk di beberapa lokasi, termasuk Tok Jembal dan kawasan sekitarnya.
Difahamkan antara lokasi lain yang terkesan ialah Gong Badak, Batu Rakit, Chendering dan Bukit Nenas, selain beberapa kawasan lain di sekitar Kuala Nerus.
Perkongsian itu mempersoalkan keadaan perkhidmatan bekalan air ketika pengguna berdepan kenaikan caj air, termasuk persoalan mengenai ke mana wang yang dibayar pengguna dibelanjakan.
“Masalah air makin parah walaupun caj air naik hampir sekali ganda,” menurut hantaran berkenaan.
Lebih mencetuskan persoalan apabila laman tersebut turut memuat naik gambar keadaan air berwarna kekuningan dan keruh yang ditadah dari paip, selain mempersoalkan sama ada Terengganu sedang berdepan masalah bekalan air yang semakin serius.
Seorang pengguna mendakwa air di kediamannya berbau dan berwarna keruh sehingga terpaksa menggunakan penapis, malah mendakwa keadaan itu berlaku walaupun selepas penggunaan penapis air jenis osmosis songsang (RO).
Ada juga pengguna yang mendakwa berdepan air berbau seperti besi, selain tekanan air rendah dan keadaan air yang berubah-ubah mengikut masa.
Dalam pada itu, satu grafik yang dikongsikan Greater Terengganu Development mendakwa bil air bulanan bagi penggunaan 50 meter padu meningkat daripada RM33.15 pada 2018 kepada RM40.25 pada 2024, sebelum mencatat RM72.30 pada Ogos 2025 dan RM61.46 selepas November 2025.
Isu itu menjadi lebih sensitif apabila pengguna bukan sahaja mempersoalkan kualiti air yang diterima, malah mengaitkannya dengan peningkatan caj yang perlu ditanggung mereka.
Persoalannya, jika pengguna perlu membayar lebih untuk bekalan air, sejauh mana peningkatan caj itu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan? Itu antara persoalan yang kini dibangkitkan pengguna di media sosial.
Kenaikan tarif air Terengganu pula memang berlaku pada 2025, dengan kadar baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Laporan ketika itu menyebut kenaikan bagi pengguna domestik di Terengganu, termasuk peningkatan kadar bagi penggunaan peringkat kedua dan ketiga.
No comments:
Post a Comment