Dalam isu Negeri Sembilan, Anwar Ibrahim nampaknya berpegang pada satu benda yang cukup mudah — kalau kita kata negara ini mengamalkan Raja Berperlembagaan, maka bila sampai bab Raja, ikutlah Perlembagaan. Bukan ikut siapa paling kuat tekan atau siapa paling lantang bercakap.
Anwar sendiri sudah beberapa kali mengingatkan bahawa menurunkan seorang Raja bukan perkara kecil. Katanya, kalau Raja boleh “ditukar ikut bulan”, akhirnya sistem beraja itu sendiri akan gagal.
Lebih menarik, dalam kes Negeri Sembilan ini Perlembagaan sebenarnya bukan diam. Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sudah meletakkan syarat yang cukup khusus sebelum Undang boleh menyeru Yang di-Pertuan Besar supaya berundur daripada tugas atau turun takhta.
Bukan boleh cari alasan sesuka hati. Ada empat kelompok alasan khusus sahaja: pertama, kecacatan besar dan serius yang timbul selepas menaiki takhta seperti hilang akal, buta atau bisu; kedua, mempunyai sifat yang menyebabkan tidak layak menurut Hukum Syarak.
Ketiga, melakukan perbuatan nyata yang menjejaskan kesucian, kehormatan dan kemuliaan jawatan Yang di-Pertuan Besar. Keempat, dengan sengaja mengabaikan peruntukan Perlembagaan. Itu yang tertulis. Bukan alasan nombor lima, enam atau tujuh yang muncul kemudian mengikut keadaan politik.
Itu pun belum habis. Perkara X mensyaratkan siasatan penuh dan lengkap oleh Undang terlebih dahulu sebelum kuasa berkenaan boleh digunakan. Maknanya bukan sekadar umum satu keputusan, kemudian anggap semuanya sudah selesai.
Malah Jabatan Peguam Negara pada 17 September menyatakan tidak terdapat bukti bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan dalam Perkara 10(1) itu terpakai kepada Tuanku Muhriz. AGC turut menyatakan proklamasi 19 April tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10.
Sebab itu apabila Anwar kata jangan tunduk kepada tekanan politik, kenyataan itu ada konteks undang-undangnya. Beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak mahu masuk campur menentukan urusan Undang, tetapi apa sahaja tindakan tetap perlu dibuat menurut Perlembagaan dan undang-undang.
Ini bahagian yang kadang-kadang kita terlupa. Menghormati adat tidak bermaksud Perlembagaan boleh diketepikan. Menghormati Undang juga tidak bermaksud syarat yang tertulis dalam Undang-Undang Tubuh tiba-tiba menjadi pilihan.
Jadi mudah sahaja mesejnya. Raja kena dihormati, adat kena dihormati, Undang pun kena dihormati — tetapi Perlembagaan jangan dibuat main. Kalau Perlembagaan sudah menetapkan empat kelompok alasan dan satu proses yang khusus, maka perkara sebesar menurunkan seorang Raja tidak boleh dibuat dengan alasan yang direka kemudian.
#ahmadmursi

No comments:
Post a Comment